Pemain pasukan Denmark kelihatan tergamam dan bersedih sambil mengelilingi Christian Eriksen yang tiba-tiba rebah dalam perlawanan Euro 2020 menentang Finland.

PERLAWANAN antara Denmark dan Finland yang dihentikan pada minit ke-41 disambung semula pada pukul 8.30 malam waktu Eropah Tengah (2.30 pagi waktu Malaysia).

Pertembungan kedua-dua pasukan itu terpaksa ditangguhkan selepas bintang Denmark, Christian Eriksen tiba-tiba rebah dan memerlukan rawatan.

Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) dalam ciapan di Twitter memaklumkan, perlawanan itu disambung semula atas permintaan pemain daripada kedua-dua pasukan.

“Susulan permintaan daripada pemain kedua-dua pasukan, UEFA telah bersetuju menyambung semula perlawanan antara Denmark dan Finland hari ini.

“Empat minit terakhir dalam separuh masa pertama akan dimulakan semula dengan lima minit waktu rehat sebelum separuh masa kedua bermula.

Baca artikel berkaitan: Christian Eriksen rebah, perlawanan dihentikan

“Perlawanan itu ditangguhkan selepas perubatan kecemasan melibatkan Eriksen. Pemain itu ketika ini menerima rawatan di hospital dan berada dalam keadaan stabil.

“UEFA berharap Eriksen segera sembuh dan pulih sepenuhnya serta mengucapkan terima kasih kepada kedua-dua pasukan atas sikap yang patut dicontohi,” katanya.

Sementara itu, Kesatuan Bolasepak Denmark berkata, Eriksen dilaporkan sudah sedar dan sedang menjalani pemeriksaan lanjut.

Perlawanan pembukaan antara Denmark dan Finland itu terpaksa dihentikan sebelum berakhir separuh masa pertama selepas bintang Inter Milan itu tiba-tiba rebah di atas padang.

Dalam perlawanan berlangsung di Stadium Parken, Copenhagen itu, Eriksen yang mahu menerima lontaran ke dalam daripada rakan sepasukan tiba-tiba terjatuh dan tidak sedarkan diri.

Kejadian yang berlaku pada minit ke-42 itu membuatkan pengadil England, Anthony Taylor terus mengarahkan kakitangan kesihatan untuk segera masuk ke padang memberi bantuan.

Bintang Inter Milan itu dilihat menerima bantuan pernafasan (CPR) daripada kakitangan kesihatan sambil disaksikan rakan sepasukan yang tergamam menyaksikan kejadian itu.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram