Itali setakat ini telah memberikan sebanyak 41 juta vaksin Covid-19 kepada rakyatnya.

ITALI menghadkan penggunaan vaksin Covid-19 AstraZeneca hanya untuk warga emas yang berusia 60 tahun ke atas sahaja ketika individu lebih muda yang telah menerima dos pertama vaksin itu akan melengkapkan kitaran dengan vaksin mRNA.

Agensi berita AFP melaporkan, perubahan itu ekoran penambahbaikan dalam kadar jangkitan coronavirus (Covid-19) di Itali, setelah terjejas teruk oleh wabak terbabit sebelum ini.

Namun bermula minggu depan, Rom akan mula menarik balik sekatan di seluruh negara berikutan jumlah kes baharu yang turun secara mendadak. 

Agensi perubatan Kesatuan Eropah April lalu mendakwa kaitan antara masalah darah beku dengan vaksin AstraZeneca namun pada masa sama menegaskan, manfaat vaksin itu mengatasi risiko.

“Situasi epidemiologi yang berubah menyebabkan penilaian semula nisbah risiko-manfaat bagi kumpulan umur yang kurang berisiko, akan sebarang jenis Covid-19 yang teruk, “kata Jawatankuasa Teknikal dan Saintifik kerajaan Itali (CTS), hari ini.

Satu kenyataan kementerian kesihatan hari ini yang mengemas kini pendapat CTS mengenai vaksin itu berkata,  vaksin AstraZeneca sekarang harus diberikan “hanya untuk individu berusia 60 tahun ke atas”.

Di luar prinsip “kewaspadaan maksimum”, bagi orang di bawah umur 60 tahun yang telah pun menerima dos pertama AstraZeneca, “kitaran vaksin harus dilengkapkan dengan dos kedua vaksin mRNA” seperti Pfizer-BioNTech atau Moderna, yang diberikan lapan hingga 12 minggu kemudian.

Itali pada bulan Mac melarang suntikan vaksin AstraZeneca kerana bimbang akan faktor kesihatan, tetapi setelah agensi perubatan EU memberi lampu hijau, Rom meluluskan pemberian vaksin itu buat semua orang yang berusia lebih dari 18 tahun.

Itali mengesyorkan penggunaan istimewa AstraZeneca untuk individu berusia lebih dari 60 tahun, tetapi AstraZeneca telah digunakan untuk orang yang lebih muda.

Itali setakat ini telah memberikan sebanyak 41 juta vaksin ketika hampir 14 juta orang daripada keseluruhan 60 juta penduduknya telah divaksin sepenuhnya.

Bermula Isnin, sekatan di wilayah yang menempatkan lebih daripada 40 juta orang termasuk kawasan di sekitar Milan dan Rom akan diklasifikasikan sebagai zon “putih” berisiko rendah.

Sebahagian besar sekatan akibat Covid-19 akan dilonggarkan di Itali kecuali keperluan memakai pelitup muka dan mematuhi penjarakan fizikal.

Menteri Kesihatan Roberto Speranza berkata, pencapaian itu adalah “hasil menggalakkan yang membenarkan kita melihat ke hadapan dengan lebih yakin”, selain menggesa orang ramai agar tetap berwaspada.

Kira-kira 127,000 penduduk Itali yang dijangkiti Covid-19 meninggal dunia sejak Februari 2020.