SINGLE Sakit yang dilancarkan tahun lalu telah meraih 34 juta tontonan di laman YouTube Seventeen Eleven Music. Malah, sebelumnya lagu itu berjaya meraih satu juta tontonan dalam masa sehari dan berlanjutan sepanjang seminggu selepas ia dilancarkan.

Kejayaan itu tidak terhenti apabila Achey melancarkan pula lagu berjudul Sembuh yang mana ia adalah kesinambungan lagu Sakit.

Sembuh yang juga hasil ciptaan sepenuhnya oleh Achey dilancarkan secara rasmi pada 5 Jun lalu di saluran YouTube Seventeen Eleven Music.

Selepas lima hari dilancarkan, video muzik rasmi Sembuh sudah mencecah hampir 400,000 tontonan dan kekal berada di kedudukan carta ‘trending’.

Masih mengekalkan genre sama dengan single terdahulu, Achey berkata lagu Sembuh mempunyai sedikit kelainan dari segi bunyi dan penghayatan lagu.

“Komposer dan lirik lagu ini daripada saya sepenuhnya. Cuma gubahan muzik oleh Baby Majistret bersama pasukannya. Syarikat rakaman 17 Eleven menggalakkan saya cipta dan buat lirik.

“Pada masa sama, saya sebenarnya suka pada sentuhan sendiri. Sebab kalau menjadi dan diterima baik, ia adalah hasil kerja saya dan ia satu rahmat. Kalau sebaliknya, ia tetap hasil kerja saya dan tidak membabitkan orang lain.

“Genre lagu ini balada, sama macam lagu Yang Terindah dan Sakit. Tapi, warna dalam lagu ini adalah kesinambungan daripada lagu Sakit. Penghayatan juga lain daripada lagu sebelum ini. Jadi, ia sedikit berbeza,” katanya.

Berkongsi mengenai lagu Sembuh, Achey berkata ia adalah kesinambungan lagu Sakit yang menceritakan bagaimana kisah selepas seorang lelaki meninggalkan wanita.

“Lagu ini memaparkan yang mana dia sebenarnya masih terkesan. Dalam pada terluka, dia tidak sedar ada seseorang yang sanggup menerimanya seadanya dan sanggup berkorban dalam apa cara sekali pun. Luka yang masih ada itu memberi kesan kepada kerjaya dan orang sekeliling.

“Jadi, disebabkan itu kehadiran wanita itu adalah untuk menyelamatkan diri lelaki terbabit dan orang sekeliling supaya tidak terus tejejas. Pendek kata, luka lama sembuh disebabkan wanita ini yang mana tanpa disedari pun,” ujarnya.

Sama seperti lagu lain, Achey meletakkan diri dalam lagu Sembuh agar penghayatan dan jalan cerita lagu itu lebih dirasai.

“Lagu ini berkaitan degan kehidupan saya. Sebab saya suka meletakkan diri saya dalam lagu. Macam lagu Sakit, saya dapat rasakan pengalaman orang lain yang diceritakan pada saya.

“Dari situ saya cuba selami perkara itu dan terhasillah lagu Sakit. Bila nak menjadikan kesinambungan lagu itu, saya kena letakkan diri sendiri dalam lagu ini.

“Saya berasakan ia adalah diri saya. Apabila ia berkaitan kisah diri sendiri, maka ada ‘feel’ dan mudah diselami bila menyanyikan lagu ini. Itu yang saya praktikkan dalam setiap lagu saya,” jelasnya.

Dalam masa sama, Achey tetap menyimpan hasrat agar suatu hari nanti dia dapat beraksi di pentas pertandingan nyanyian seperti Anugerah Juara Lagu (AJL).

“Saya sebenarnya menyimpan hasrat dari lagu pertama lagi. Sudah masuk pencalonan Muzik Muzik, tapi tak lepas. Saya beranggapan mungkin saya bukan penyanyi profesional. Tapi apabila diterima di media sosial dan YouTube ia sudah cukup baik.

“Tontonan sehari satu juta untuk setiap lagu, ia sangat memberangsangkan. Syarikat rakaman pun agak terkejut sebab sambutan sangat bagus dan kekal selama seminggu.

“Harapan untuk lagu ini tak banyak, cuma lebih kepada ia mendapat sambutan baik dan tontonan yang tinggi. Malah, paling penting nak orang faham lagu ini adalah kesinambungan daripada lagu Sakit. Sembuh adalah penutup cerita itu. Selepas itu baru buat lagu lain pula,” katanya.

Dalam pada itu, bercerita soal kerjaya nyanyiannya, Achey berkata gelaran pelawak yang dibawa pada mulanya membuka ruang untuk dirinya meneroka cabang seni lain.

“Saya pada mulanya nak hasilkan karya atau lagu ini sebagai satu cabang lain dalam diri. Jadi, bidang nyanyian ini adalah sesuatu yang saya suka. Alhamdulillah, ia diterima. Walaupun saya bermula sebagai pelawak, tapi saya diterima baik.

“Mungkin juga disebabkan kisah hidup saya dan keluarga atau suara saya ketika membuat komedi, saya diterima ramai. Alhamdulillah, bermula dengan lagu pertama sampai sekarang, masih diterima…perkembangan yang sangat positif perkembangan.

“Tapi untuk menjadi penyanyi profesional, saya berasakan belum layak. Sebab mungkin dari sudut pandangan orang, saya asal pelawak. Tapi kalau diterima, mungkin ia boleh. Macam Allahyarham Tan Sri P Ramlee, dia juga pelawak dalam setiap filem lakonannya dan juga penyanyi profesional.

“Jadi, tak salah jika saya mengambil inisiatif sama dan mengambil konsep itu. Walaupun saya pelawak, mungkin boleh menjadi penyanyi profesional. Tapi kalau diterima, saya mungkin kena belajar banyak perkara terutama teknik nyanyian,” ungkapnya.