Tiada siapa yang alih tiang gol, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Sebaliknya, kata beliau, Jemaah Menteri hanya ‘membetulkan’ peraturan permainan supaya dapat membantu ‘pengadil’ membuat pengadilan tepat.

Takiyuddin berkata, mencapai matlamat tidak bermakna perlu mengalihkan tiang gol.

“Tiada siapa yang alih tiang gol, yang dibuat adalah betulkan peraturan permainan supaya membantu pengadil buat pengadilan yang betul.

“Untuk mencapai matlamat tidak bermakna perlu mengalihkan tiang gol,” katanya dalam Twitter malam tadi.

Baca artikel berkaitan: Darurat: Kerajaan beri jaminan ikut Perlembagaan buat keputusan

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said yang mengkritik Takiyuddin berhubung kenyataannya bahawa Kabinet akan menasihati Yang di-Pertuan Agong sama ada pelaksanaan darurat dilanjutkan atau tidak.

Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang berkata, kerajaan tidak seharusnya cuba ‘mengalihkan tiang gol’ pada ketika tempoh pelaksanaan darurat hanya berbaki kira-kira dua bulan lagi untuk tamat.

“Sekiranya demikian (Jemaah Menteri menasihati Yang di-Pertuan Agong), apa gunanya membentuk jawatankuasa khas bebas untuk menasihati Agong di bawah Seksyen 2(1) Ordinan Darurat 2021?

“Berhenti mengalihkan tiang gol!,” kata beliau dalam akaun Twitter miliknya.

Semalam, Takiyuddin berkata, Kabinet bertanggungjawab menasihati Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengenai keperluan untuk darurat dilanjutkan atau tidak.

Kerajaan juga, kata Takiyuddin, memberi jaminan akan mengikut semua mekanisme yang wujud di dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang negara dalam membuat sebarang keputusan berkaitan darurat.

Menurut Takiyuddin, ia setelah mengambil kira semua keadaan semasa serta faktor-faktor berkaitan termasuk keselamatan orang ramai, aspek sosial dan ekonomi negara.

“Selaras dengan tanggungjawab serta teras dasar Kerajaan untuk terus memfokuskan kepada tindakan-tindakan yang khusus dan tepat bagi mencegah, memerangi serta mengurangkan risiko kadar kebolehjangkitan virus COVID-19 dalam kalangan rakyat di waktu-waktu yang getir ini dengan lebih efektif,’’ katanya dalam kenyataan semalam.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram