Pemain Denmark mengiringi Christian Eriksen sewaktu bintang tengah itu dibawa keluar bagi mendapatkan rawatan di hospital

SELAMA kira-kira satu jam, warga bola sepak seluruh dunia menyaksikan satu detik menakutkan selepas satu daripada bintang tengah Denmark, Christian Eriksen tiba-tiba rebah di atas padang.

Kejadian di hadapan penyokong tuan rumah ketika perlawanan pembukaan antara Denmark menentang Finland dalam saingan Euro 2020 itu membuatkan stadium sunyi sepi, tergamam dan terkejut.

Bukan sahaja Stadium Parken, Copenhagen tetapi seluruh dunia yang menyaksikan perlawanan itu hanya mampu berdoa supaya tiada lebih buruk berlaku.

Saat-saat ketika pegawai perubatan bertungkus-lumus memberi bantuan pernafasan kecemasan (CPR) dengan rakan sepasukan Eriksen mula menitiskan air mata membuatkan insiden itu sangat membimbangkan.

Seluruh stadium kemudiannya bersorak selepas menerima berita Eriksen berada dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan lanjut.

Insiden itu bukan yang pertama dan mungkin juga bukan yang terakhir.

Baca artikel berkaitan: Euro 2020: Christian Eriksen rebah, perlawanan dihentikan

Ada pemain yang terselamat tetapi ada juga pergi selama-lamanya.

Berikut senarai pemain yang rebah secara tiba-tiba di atas padang:

MARC VIVIEN FOE

Pada Jun 2003, sewaktu perlawanan antara Cameroon menentang Colombia dalam saingan Separuh Akhir Piala Konfederasi FIFA 2003 di Stadium Stade de Gerland, Perancis, dunia bola sepak tergamam selepas Marc Vivien Foe rebah di kawasan bulatan tengah padang.

Selepas beberapa cubaan menyedarkan Foe gagal, beliau dibawa keluar padang dengan pegawai perubatan bertungkus-lumus selama 45 minit cuba ‘menghidupkan’ semula jantung.

Walaupun masih hidup semasa tiba di pusat perubatan stadium, Foe diisytihar meninggal dunia akibat penyakit berkaitan jantung, hypertrophic cardiomyopathy.

ANTONIO PUERTA

Pemain tengah berbakat Sevilla, Antonio Puerta rebah secara tiba-tiba hanya selepas 35 minit perlawanan pembukaan kempen 2007-2008 menentang Getafe di Stadium Sanchez Pizjuan.

Selepas diberikan bantuan pegawai perubatan, Puerta sedar seketika dan mampu berjalan masuk ke bilik persalinan sebelum rebah sekali lagi.

Namun begitu, Puerta, 22, meninggal dunia tiga hari kemudian di hospital disebabkan kegagalan beberapa organ ekoran serangan jantung.

Pemain Denmark kelihatan sugul dan mengalirkan air mata sewaktu pegawai perubatan memberikan rawatan kecemasan kepada Christian Eriksen.

CHEICK TIOTE

Bintang Ivory Coast, Cheick Tiote dikenali sebagai pemain tengah bertahan yang baik dengan menampilkan corak permainan keras dan berkesan.

Tiote mempunyai karier agak gemilang di Eropah, menyertai kelab gergasi Belgium, Anderlect pada usia 18 tahun sebelum berhijrah ke FC Twente di Belanda, tiga tahun kemudian.

Beliau seterusnya menghabiskan selama lapan musim di Newcastle United dalam Liga Perdana Inggeris.

Empat bulan selepas meninggalkan Newcastle United, Tiote secara tiba-tiba pengsan semasa sesi latihan bersama kelab barunya, Beijing Enterprises di China.

Tiote, 30, kemudiannya diisytiharkan meninggal dunia di hospital.

FABRICE MUAMBA

Fabrice Muamba, pemain tengah kelahiran Zaire, Republik Congo memulakan karier remajanya di Arsenal sebelum berpindah ke Birmingham City dan Bolton Wanderers.

Pada Mac 2012, ketika berusia 24 tahun, sewaktu perlawanan suku akhir Piala FA antara Bolton menentang Tottenham Hotspur, Muamba mengalami serangan jantung dan rebah di atas padang.

Selepas menerima rawatan kecemasan di atas padang, Muamba dibawa ke unit rawatan koronari (CCU). Beliau secara teknikal ‘mati’ selama 78 minit namun jantungnya berjaya ‘dihidupkan’ kembali.

Bekas pemain tengah England Bawah-21 itu terpaksa menamatkan karier atas masalah kesihatan.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram