KHABAR angin yang mengatakan penyanyi Ernie Zakri yang kini sedang berbadan dua ternyata tidak benar.
Perkara itu disahkan sendiri oleh Ernie atau Nur Ernie Shahirah Zakir,28, yang menafikan berita kehamilannya selepas tular di media sosial.
Menurut Ernie yang juga isteri kepada penyanyi Syamel, dia mendedahkan ‘baby bump’ yang jelas kelihatan seperti yang didakwa oleh netizen itu bukan sebab dirinya sedang mengandung.
“Itu bukan ‘baby bump’. Dalam perut itu makanan. Jangan buat saya macam ini.
“Saya sangat suka makanan sampai lepas kahwin tak berhenti makan nasi.
“Tapi saya dah berhenti makan nasi sekarang dan kembali mengamalkan gaya hidup sihat,” katanya.

Walau bagaimanapun, penyanyi lagu Gundah itu memandang positif spekulasi tersebut dan menganggap ia adalah doa untuk dirinya.
“Tapi doa-doa anda itu saya aminkan. Doa banyak-banyak untuk saya dan mereka yang mahu menimang anak,” tuturnya.
Ernie mendirikan rumah tangga dengan Syamel pada 26 Mac lalu di Masjid Puncak Alam, Shah Alam, Selangor.