England menepati ramalan apabila berjaya menumpaskan Croatia hasil jaringan tunggal Raheem Sterling dalam perlawanan pembukaan Euro 2020, malam tadi. GAMBAR: Facebook UEFA EURO 2020

Oleh: Syed Saggaf

ENGLAND mungkin mempunyai peminatnya yang tersendiri di Malaysia, lebih-lebih lagi kita disajikan dengan Liga Perdana Inggeris hampir setiap minggu.

Jadi tidak hairanlah jika peminat bola sepak di negara ini menanti-nantikan perlawanan yang melibatkan pasukan England. Apatah lagi, dengan sepak mula awal perlawanan ini menyebabkan kita tidak perlu bersengkang mata menontonnya.

Perlawanan malam tadi mungkin bukan satu perlawanan yang penuh dengan aksi yang kita harapkan. Besar kemungkinan malah, perlawanan malam tadi tidak dapat menandingi perlawanan terakhir antara kedua-dua pasukan ini di separuh akhir Piala Dunia 2018 di Rusia, yang mana Croatia telah membenam England dengan jaringan 2-1.

Bintang Manchester City, Raheem Sterling memecah kebuntuan selepas berjaya menjaringkan gol tunggal pada minit ke-57 sekali gus memberikan kemenangan kepada The Three Lions. GAMBAR: Facebook UEFA Euro 2020

Perlawanan tersebut telah dilanjutkan sehingga ke masa tambahan. Di dalam perlawanan tersebut, lebih daripada 30 percubaan telah dibuat oleh kedua-dua pasukan ke kubu lawan masing masing, dengan Croatia mencipta 22 peluang dan tujuh daripadanya adalah tepat ke sasaran, manakala England menghasilkan 11 percubaan dengan satu cubaan tepat.

Dalam piala dunia yang lepas, Croatia seterusnya ditewaskan oleh Perancis dalam aksi perlawanan akhir dan England pula tumpas di tangan Belgium dalam penentuan tempat ketiga.

Baca artikel berkaitan: Di sebalik Euro 2020: Seorang penyerang dinilai dengan gol

Namun apa yang menarik adalah England seolah-olah sudah mengambil iktibar dan belajar daripada perlawanan sebelum ini. Mereka lebih banyak menguasai perlawanan pada kali ini dan tidak membenarkan Luka Modric menguasai bahagian tengah seperti di Rusia, tiga tahun lepas.

Mereka juga memperketatkan bahagian pertahanan dengan hanya membenarkan lapan percubaan ke gol mereka. Setelah Raheem Sterling menjaringkan gol pada minit ke-57, England telah bertukar rentak dengan bermain tenang bagi memastikan tiga mata penuh pada perlawanan pembukaan.

Bintang muda Borrusia Dortmund, Jude Bellingham (jersi no. 26) yang masuk pada babak kedua menjadi pemain termuda dalam sejarah Kejohanan Euro pada usia 17 tahun 349 hari.

Mereka lebih selesa membuat hantaran pendek tanpa menunjukkan minat untuk membuat hantaran yang berisiko. Sebenarnya, dalam 30 minit terakhir perlawanan ini, pemain England lebih menunjukkan disiplin mereka untuk mencapai kemenangan dengan mempertahankan kedudukan dan mengelak untuk melakukan kesilapan.

Barangkali lebih mudah untuk mereka terpengaruh dengan sorakan penyokong untuk terus mengambil risiko dan terus menyerang. Sudah tentu, penyokong bola sepak sentiasa dahagakan gol.

Barangkali juga setelah hampir setahun bermain tanpa sebarang penyokong sewaktu perlawanan liga, pemain atas padang perlu menyesuaikan diri semula dengan gelagat penonoton dan menyerap segala tekanan yang diberikan.

Aksi pemain tengah Leeds United, Kalvin Phillips dipuji peminat setia England selain berjaya memberikan bantuan kepada Raheem Sterling untuk menjaringkan gol. GAMBAR: Facebook UEFA EURO 2020

Itulah sebenarnya cabaran mereka semalam, yang jauh lebih besar daripada pasukan Croatia. Kadangkala, kelebihan beraksi di tempat sendiri boleh menjadi duri dalam daging.

Jadi pada saya inilah pengajaran yang perlu kita ambil, tidak kira di bidang sukan atau di mana sahaja. Pastikan kita sentiasa laksanakan tugas yang diberi atau diamanahkan dan kita perlu sentiasa tahu apakah harapan dan jangkaan yang telah ditetapkan kepada kita.

Selain itu, kita harus sentiasa kekal fokus dalam tugasan kita bagi memastikan kesudahan yang cemerlang.

England malam tadi, melaksanakannya dengan baik.

Syed Saggaf ialah ketua pegawai eksekutif syarikat minyak dan gas yang meminati sukan bola sepak.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram