DIFITNAH masih lagi bergelumang dengan najis dadah, vokalis kumpulan Spring, Ameng bertindak membuat laporan polis di Balai Polis Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur terhadap dua pemilik akaun laman sosial Facebook.

Menurut Ameng atau nama penuhnya Wan Aminuddin Wan Ismail berkata, individu terbabit secara terang-terangan telah mengaibkan dirinya ketika sedang membuat persembahan di Facebook Live Artiste of Legend (AVOL) baru-baru ini.

“Saya membuat laporan polis terhadap dua individu terbabit kerana telah memfitnah dan cuba menjatuhkan nama baik saya di media sosial.

“Kepada pemilik akaun Aduka Sufi dan Compa Kia, saya telah membuat laporan polis kerana telah menjejaskan pendapatan saya,” katanya.

Dalam pada itu, penyanyi berusia 52 tahun ini menganggap tuduhan yang dilemparkan kepadanya bersifat keterlaluan dan melampau sekaligus menjatuhkan maruhanya sebaga seorang suri teladan di mata masyarakat.

“Saya mohon maaf kalau perkataan saya ini mengganggu sesetengah pihak.

“Ketika saya membuat persembahan di AVOL, ada orang komen negatif kata saya masih lagi hisap dadah.

“Rasanya orang yang berfikiran negatif dan bersangka buruk terhadap orang lain, elok pergi mati sajalah.

“Mungkin dia sendiri yang hisap dadah, jadi bolehlah saya buat laporan polis…kita tengok nanti.

“Sekali lagi maafkan saya jika kata-kata saya ini agak kasar. Untuk mereka yang suka berfikiran negatif, ingat satu jari kita tunjuk dekat orang, empat jari tunjuk dekat awak,” luahnya meneusi hantaran video di akaun Instagram miliknya.

Terdahulu, Ameng telah membuat persembahan menerusi Facebook Live AVOL, seorang individu telah meninggalkan komen yang medakwa Ameng masih terbabit dengan kegiatan dadah kerana dilihat sedang mengacipkan giginya.

Malah, komen tersebut turut disokong oleh seorang lagi netizen yang turut bersetuju dengan kenyataan tersebut.