INSTITUT Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM) dan Kementerian Luar telah menjalinkan kerjasama dengan menganjurkan program Kelayakan Bersekutu dalam Kewangan Islam (AQIF) selama lima hari sehingga Jumaat ini.

Ketua Pegawai Eksekutif IBFIM, Yusry Yusoff dalam kenyataan memberitahu, AQIF di bawah Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) merupakan satu daripada program institut tersebut yang telah dinilai dan dipilih Kementerian Luar.

Katanya, ia bagi memberi peluang pembelajaran kepada negara-negara yang berminat untuk mengembangkan kemahiran dan kecekapan bakat dalam industri kewangan Islam.

Beliau berkata, kerjasama antara IBFIM dan Kementerian Luar itu merupakan sebahagian daripada inisiatif untuk mendukung agenda nasional bagi menempatkan Malaysia sebagai pusat pendidikan perbankan dan kewangan Islam di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025.

“Kami amat berbesar hati diberi mandat oleh Kementerian Luar bagi menjalankan program AQIF di bawah inisiatif MTCP dan amat mengalu-alukan penyertaan delegasi dari Turkmenistan, Azerbaijan, Filipina dan Brunei Darussalam.

Baca artikel berkaitan: IBFIM ambil inisiatif tingkat kesedaran perubahan iklim

Yusry dilantik semula sebagai CEO IBFIM

“Sejajar dengan objektif sebagai institusi pembelajaran sepanjang hayat, kami berasa sukacita kerana diberi peluang untuk berkongsi pengetahuan dan kepakaran Malaysia dalam pelbagai bidang kewangan Islam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Program AQIF yang dikendalikan menerusi Kelas Global IBFIM bertujuan menyediakan kerangka pembelajaran sepanjang hayat yang progresif dan tersusun untuk profesional dalam industri kewangan Islam.

Sejak dilaksanakan pada tahun 2011, terdapat seramai 3,451 pemegang kelayakan AQIF.

Mengulas lanjut, Yusry berkata, peningkatan jumlah pemegang kelayakan AQIF sama ada di Malaysia dan luar negara disifatkan sebagai memberangsangkan.

“Ini adalah salah satu inisiatif IBFIM untuk memastikan ketersediaan aliran bakat yang kompeten dan serba boleh bagi menyokong inovasi serta dinamisme industri kewangan Islam yang lebih menyeluruh di peringkat tempatan dan global,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram