SUSULAN kontroversi program hiburan All Together Now Malaysia (ANTM) yang terpaksa dihentikan tayangannya, penyanyi rap Tuju yang merupakan salah seorang 50 juri rancangan itu bersedia untuk memberi kerjasama apabila dipanggil pihak polis.

Jelas Tuju, program itu dirakamkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang dilaksanakan oleh kerajaan pada awal tahun ini.

Malah ujar suami kepada penyanyi rap Loca B itu lagi, sepanjang rakaman, semua tenaga produksi dan individu yang terlibat dalam program tersebut telah mematuhi garis panduan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Program itu telah selesai dirakamkan. Bila isu itu dibangkitkan, saya ada terbaca jugalah komen-komen netizen yang mengaitkan dengan isu tak boleh pergi masjid dan sebagainya.

“Sejujurnya, rakaman itu memang dilakukan ketika kerajaan membenarkan untuk sembahyang berjemaah di masjid termasuklah solat Jumaat.

“Saya kalau boleh memang tidak mahu mengulas (komen) lanjut tentang isu ini sebab saya tahu semuanya selamat.

“Apa yang boleh saya katakan, saya bersedia untuk beri kerjasama sekiranya diminta untuk memberi keterangan oleh pihak polis,” katanya kepada URTV.

Tuju atau nama sebenarnya Muhammad Azree Shah Awang Zambri,25, berkata demikian ketika sidang media pelancaran single terbaharunya berjudul Veto yang diadakan petang tadi (Selasa).

Dalam laporan media sebelum ini, pihak polis akan memanggil 50 juri yang terlibat dalam ATNM ke Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya dalam masa terdekat.

ANTM dihoskan oleh Sherry Alhadad yang baharu satu episod ditayangkan baru-baru ini terpaksa dihentikan kerana didakwa program terbabit melanggar SOP PKPP.

ANTM merupakan program realiti nyanyian yang menghimpunkan seramai 50 orang juri yang terdiri daripada selebriti tanah air.