Saya nasihat saudara
DR ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan menyediakan kertas kerja dalam masa terdekat berhubung isu penghinaan terhadap agama Islam yang berlaku sejak akhir-akhir ini.

Arahan tersebut dikeluarkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri yang turut memaklumkan kertas kerja itu akan dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja.

Menurut Zulkifli, Malaysia bukanlah baru berumur setahun jagung dengan semangat muhibbah yang telah dibina sudah pasti tidak mudah dirobohkan hanya kerana satu dua isu.

Walau bagaimanapun, kata beliau, isu yang dipandang remeh itu kadang kala boleh mencetuskan api amat marak.

Beliau berkata, hal itu memerlukan kebijaksanaan dalam mempertimbangkan isu dan permasalahan.

“Kita sudah hidup lebih 60 tahun bersama. Jika diumpamakan seperti manusia, sudah memutih uban di kepala. Amat luas ilmu dan pengalamannya.

Baca artikel berkaitan: Majikan direman lagi, disiasat hina Islam dan cubaan bunuh

“Umum mengetahui insiden yang berlaku baru-baru ini yang melibatkan sensitiviti keagamaan. Pihak berkuasa telah menjalankan siasatan dan kita sedia menanti keputusannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Minggu lalu, polis menahan enam lelaki warga tempatan iaitu lima penghantar makanan dan seorang pelanggan berhubung kes pergaduhan di kawasan Sungai Way, Petaling Jaya.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menggunakan perkataan melukakan perasaan agama seseorang dan Seksyen 147 kanun sama kerana menggunakan kekerasan dalam perhimpunan yang menyalahi undang-undang.

Mengulas lanjut, Zulkifli berpendapat sikap bersetuju untuk tidak bersetuju adalah ramuan terbaik dalam menguruskan sebarang bentuk perbezaan.

Kata beliau, perbezaan adalah lumrah manusia kerana hati, akal dan pengalaman sudah pasti membentuk sudut pandang berbeza dalam 1,001 perkara.

Zulkifli turut berterima kasih kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atas keprihatinan dan sentiasa berusaha memelihara kesucian Islam serta pada masa sama mengukuhkan hubungan persefahaman antara kaum dan agama.

“Sebagaimana bola dan kedai mamak boleh menyatukan semua bangsa tanpa mengira latar belakang politik, pendidikan dan warna kulit, saya fikir kita juga ada pelbagai bentuk alasan untuk terus hidup dalam semangat muhibbah.

“Berbanding memilih untuk berseteru dan menimbulkan provokasi pada prinsip-prinsip utama agama,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram