Sejak kecil, saya memang suka memancing bila selalu ikut awah datuk dan ayah. Lama kelamaan ia jadi hobi tetap. Asal nampak air bertakung, teringatkan ikan. Tidak kiralah sama ada sungai, laut, kolam, paya, lombong atau tali air di sawah padi.  Semuanya mendatangkan keghairahan saya untuk memancing.

Saya bukan gunakan joran mahal pun. Kadangkala cukup saya gunakan dahan kekabu yang sederhana besar atau pokok buluh yang ditajamkan di bahagian hujungnya untuk diikat dengan tali pancing dan mata kail. Umpan pula mudah dicari. Ambil cangkul, korek di bahagian tanah yang sedikit lembap. Akan keluar menggeletik cacing-cacing yang akan dijadikan umpan.

Sepanjang saya memancing, banyak juga kejadian misteri yang pernah saya alami. Kalau dengar bunyi pelik atau nampak kelibat, itu perkara biasa. Tetapi, satu kisah yang tak dapat saya lupakan ialah peristiwa semasa memacing di sebuah lombong tinggal.

Dah lebih 10 tahun kisah ni berlaku, tapi saya masih ingat sampai sekarang. Ketika itu saya pergi memancing di sebuah lombong tinggal di kawasan Puchong, Selangor.

Malam itu saya bersama sahabat baik, Zainal keluar memancing di lombong tersebut selepas waktu Maghrib. Sebenarnya, malam tu entah kenapa saya rasa berat hati nak turun memancing. Jarang sekali saya rasa macam tu. Tapi sebab Zainal beriya mengajak, saya tak sampai hati nak kecewakan rakan saya itu.

Sampai di lokasi, kami siapkan segala keperluan. Cuaca agak berangin malam itu, seakan mahu hujan. Telahan saya tepat, sebaik sahaja mata kail dilabuhkan ke dasar tasik, hujan mula turun. Angin juga semakin kencang hingga air tasik tampak beralun-alun digoncang angin.

Walaupun hujan gerimis, kami masih galak memancing. Sebabnya? Kami teruja apabila satu demi satu umpan yang kami baling disambar ikan. Itu yang membuatkan saya dan Zainal masih bertahan walaupun beberapa pemancing lain yang ada di situ sudah mula angkat kaki pulang ke rumah. 

Saya masih teringat kata-kata seorang pemancing yang lalu berdekatan kami semasa dia hendak pulang.

“Jangan memancing lama sangat dik. Tempat ni keras!” pesan lelaki yang agak berusia itu. Namun, kelekaan kerana mendapat ikan yang banyak membuatkan kami tidak ambil pusing pesanannya.

Ketika sedang asyik memancing itu, kami tidak perasan air di tengah tasik mula berpusar. Pada mulanya perlahan, namun lama-kelamaan pusaran itu semakin kuat sehingga menjadi seperti alunan ombak.

Waktu itu baru kami tersedar. Cepat-cepat kami naik. Dari atas tebing, saya memandang ke arah tasik. Ketika itulah saya melihat ada satu lembaga perlahan-lahan timbul dari permukaan air. Dalam keadaan yang agak gelap, saya nampak samar-samar. Badannya hitam berkilat. Yang jelas, matanya kemerahan.

Setiap kali lembaga itu meranduk air tasik yang separas pinggangnya, setiap kali itulah air tasik akan membuak membentuk seperti ombak yang menghempas tebing lombong itu. 

Saya seperti terpaku melihat lembaga itu. Hujan ketika itu semakin lebat. Saya hanya berdiri tegak sambil mata hanya memandang ke arah lembaga itu.

Tidak lama kemudian, saya merasakan kepala saya berpinar-pinar dan pandangan saya mulai gelap. Sebaik saya membuka mata, saya sudah berada di rumah, dikelilingi ahli keluarga dan jiran tetangga.

Zainal menceritakan, saya tiba-tiba jatuh dan histeria di tebing lombong itu dengan mulut berbuih. Tangan saya pula mengapai-gapai ke atas seolah-olah mahu menyelamatkan diri.

Zainal memberitahu, selepas saya pengsan tidak sedarkan diri, dia melaungkan azan di tepi lombong itu. Selepas itu barulah keadaan mula reda dan pusaran air tasik mulai hilang. Zainal kemudian menghubungi rakan yang lain untuk membantu membawa saya pulang ke rumah.

Keadaan saya agak lemah ketika itu. Badan terasa seram sejuk. Isteri saya memanggil Aji Mat, salah seorang jiran kami yang ada kepandaian dalam rawatan tradisional. Dia membantu merawat dan memulihkan semangat saya. Menurut Aji Mat, saya terkena lintasan hantu air. Betul atau tidak, wallahualam.    

Kejadian itu membuat saya ‘bercuti’ seketika daripada memancing. Selepas enam bulan, baru saya berani semula membaling joran. Tetapi kali ini saya jadi lebih berhati-hati dan peka dengan keadaan sekeliling. Juga beringat dengan kata-kata mereka yang lebih berpengalaman di kawasan itu.

*Kisah di atas dikongsikan oleh Azmil Mohamad, seorang kaki pancing.

___________

Baca juga kisah ini : Tradisi unik nelayan Sri Lanka, memancing di atas kayu pacak