Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Baharudin Mat Taib (kiri) memeriksa buku log salah sebuah tapak pembinaan ketika mengadakan Operasi Khas Pemantauan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 secara penuh atau total lockdown di sekitar Kawasan Pembinaan Setia Alam baru-baru ini. GAMBAR hiasan: Abd Razak Aid

SEBANYAK 73 kes kematian akibat COVID-19 dilaporkan hari ini berbanding 101 kes semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, 39 kematian dilaporkan di Lembah Klang iaitu 33 di Selangor dan enam di Kuala Lumpur.

Menurutnya, sebanyak enam kes masing-masing dilaporkan di Kedah, Negeri Sembilan, dan Sarawak manakala empat kes di Labuan.

“Turut dilaporkan masing-masing tiga kes di Sabah, Melaka, dan Johor, dua kes di Pahang, serta satu kes di Kelantan.

“Pertambahan hari ini menjadikan kes kumulatif kematian akibat COVID-19 kini berjumlah 4,142 kes,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Antara korban termuda yang dilaporkan hari ini ialah seorang lelaki berusia 20 tahun di Hospital Tampin.

Indvidu berkenaan mempunyai latar belakang obesiti.

Baca artikel berkaitan: 5,150 kes baharu, N. Sembilan meningkat, KL turun

101 kematian, 19 lagi kluster, 14 libat tempat kerja

Sementara itu, kata Noor Hisham, jumlah kes aktif kini berkurang kepada 67,949 kes.

Ini setelah kes sembuh yang dilaporkan hari ini berjumlah 7,240 kes – lebih tinggi berbanding kes baharu sebanyak 5,150 kes.

Sebanyak 73 kematian dilaporkan hari ini dan 19 lagi kluster dikesan./ Infografik KKM.

“Jumlah individu positif COVID-19 yang berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) pula seramai 924 orang manakala yang memerlukan bantuan pernafasan 453 kes,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, Noor Hisham memaklumkan sebanyak 19 lagi kluster dilaporkan dengan 10 daripadanya melibatkan tempat kerja.

Empat daripada kluster tempat kerja dilaporkan di Selangor manakala masing-masing satu di Sarawak, Johor, Pulau Pinang, Melaka, Perak dan Kedah (Kulim serta Seberang Perai).

Katanya, dua lagi kluster yang dilaporkan ialah komuniti (lima) kumpulan berisiko tinggi (empat).

“Lima kluster komuniti yang dilaporkan adalah di Sarawak (dua), Sabah, Negeri Sembilan dan Kelantan.

“Kluster kumpulan berisiko tinggi pula di Selangor (dua), Kuala Lumpur dan Johor,” ujarnya.

Ketika ini terdapat 788 kluster aktif dikesan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram