Roslan Mohamed, 59, bersama isterinya, Ana Lalat, 46, mengharapkan agar kediaman baru yang djanjikan sejak 21 tahun lalu ditunaikan agar kehidupan mereka lebih selesa ketika ditemui di Kampung Orang Asli, Bukit Bandaraya, Shah Alam, disini hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

TIADA apa yang lebih memilukan hati selain melihat penderitaan dan kesusahan dihadapi golongan tidak bernasib baik. 

Lebih menyedihkan, ada di antara mereka hanya berbumbungkan langit dan berlantaikan tanah. 

Penularan COVID-19 sehingga menyebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hanya memburukkan lagi keadaan lebih-lebih lagi kepada golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40). 

Roslan Mohamed.

“Bantulah kami untuk mendapatkan rumah yang selesa untuk anak-anak.”

Itu sahaja luahan yang diucapkan Roslan Mohamed, 59, mengharapkan ada pihak sudi menghulurkan bantuan memandangkan rumah yang didiaminya bersama isteri dan tiga orang anak itu semakin reput dan usang. 

Rumah terletak di Kampung Orang Asli Air Kuning, Bukit Bandaraya, Seksyen 8, Shah Alam yang telah didiami lebih 11 tahun itu juga sudah reput bagai menunggu masa menyembah bumi. 

Ana Lalat,46, menyediakan makanan untuk keluarganya di dalam dapur yang sempit dan usang di Kampung Orang Asli, Bukit Bandaraya, Shah Alam, disini hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

Kayunya juga sudah dimamah anai-anai manakala atap rumah telah bocor. 

Menurut Roslan, isterinya yang merupakan orang asli dari suku kaum temuan tersenarai untuk pemindahan rumah pangsapuri yang berhampiran dengan pondoknya kira-kira 21 tahun lalu, namun rumah yang dijanjikan masih belum boleh diduduki sehingga ke hari ini. 

“Sampai bila saya hendak menunggu, anak-anak semakin besar. Rumah yang kami tinggal ini kecil dan tiada bilik. 

Nasib Mohd Adha Roslan, 12, (kiri) bersama adiknya, Mohd Johairee Roslan,9, tidak seperti kanak-kanak lain, apabila mereka terpaksa mengulang kaji pelajaran di luar rumahnya tanpa komputer dan gajet untuk belajar secara dalam talian ketika ditemui di Kampung Orang Asli, Bukit Bandaraya, Shah Alam, disini hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

“Kami memohon agar pihak yang bertanggungjawab dapat membantu mempercepat rumah yang telah dipohon supaya kami mempunyai tempat berteduh dan menjalani kehidupan lebih selesa,” katanya ketika ditemui UtusanTV hari ini. 

Roslan dan isterinya, Ana Lalat, 46, menyara keluarga dengan hanya bekerja sebagai pekerja kontrak pembersihan Taman Botani Shah Alam. 

Mohd Adha Roslan, 12, (kiri) bersama adiknya, Mohd Johairee Roslan,9, menyusun buku di luar rumahnya di Kampung Orang Asli, Bukit Bandaraya, Shah Alam, disini hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

Roslan turut bimbang dengan nasib menimpa tiga orang anaknya, Mohd Adha Roslan,12, Mohd Johairee Roslan,9, dan Norhidayah Alyana Roslan,8, yang ketinggalan dari segi pelajaran ketika PKP. 

Katanya, ia disebabkan dia tidak mampu membelikan komputer atau gajet memandangkan anak-anaknya perlu belajar secara dalam talian ketika sesi pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) ketika ini. 

Mohd Johairee Roslan,9, mengulang kaji pelajaran di luar rumahnya di Kampung Orang Asli, Bukit Bandaraya, Shah Alam, disini hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

“ketika ini kami berharap ada pihak dapat membantu kami mendapatkan rumah.

“Kami juga hanya menggunakan lampu solar pada waktu malam kerana pondok ini tidak mempunyai bekalan elektrik. 

“Setiap hari, saya juga terpaksa mengangkat air daripada perigi hampir 100 meter dari rumah untuk kegiatan seharian seperti minum dan mandi,” katanya.

Roslan Mohamed,59, mengangkat air yang diambil daripada perigi untuk kegiatan seharian keluarganya seperti minum dan mandi di Kampung Orang Asli, Bukit Bandaraya, Shah Alam, disini hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid