Yam Abdullah termenung di sofa. Dia mengeluh, kesal.

“Ya-Allah… kenapalah aku tak tanya pada budak tu, siapa nama emaknya,” Hajah Yam bercakap-cakap sendirian.

Dia menjenguk keluar. Tapi motokar yang membawa dua anak muda sebentar tadi sudah hilang dari pandangan.

Hajah Yam menggeleng lagi, kemudian termenung. Selalunya, apabila ada orang memintanya menguruskan jenazah, dia pasti akan bertanya nama si mati.

Tapi hari itu, entah kenapa dia terlupa langsung untuk bertanya. Anak si mati pula langsung tidak memberitahu nama emaknya, mungkin kerana menyangka Hajah Yam sudah mengetahuinya.

Hajah Yam perlu mengetahui nama si mati supaya boleh disedekahkan doa dan ayat-ayat suci untuknya. Itulah yang lazim dilakukannya sejak menjadi bilal menguruskan jenazah wanita lebih 10 tahun lalu di Merlimau, Melaka.

 “Tak apalah, esok anak-anaknya datang jemput, aku tanyalah nama arwah emaknya,” Hajah Yam menyejukkan hatinya.

Namun, kekesalan tidak mengetahui nama si mati datang juga mengganggu fikirannya, hinggalah dia terlena lewat malam itu. Sedang hanyut dibuai mimpi, Hajah Yam terjaga.

Tiba-tiba kedengaran suara seorang wanita…

Dia terasa seperti ada seseorang mengejutkannya dan ketika fikirannya terawang-awang, antara lena dan jaga, kedengaran suara seorang wanita.

“Jamilah!” kata suara itu.

Hajah Yam bingkas bangun. Dia menoleh ke sekeliling. Tiada sesiapa di sisinya.

“Jamilah? Jamilah mana?” dia tertanya-tanya.

“Suara siapa pulak tadi? Ada orang kat luar ke? Isy… mana ada orang berjalan tengah-tengah malam ni,” dia bersoal jawab lagi seorang diri. Di luar pula gelap gelita.

Hajah Yam termenung memikirkan suara siapa yang didengarnya tadi. Dia tidak kenal sesiapa bernama Jamilah.

Wanita itu ke bilik air, berwuduk dan kembali ke bilik lalu memakai telekung. Seperti lazimnya, Hajah Yam bersolat, kemudian menghadiahkan surah Yasin, Al-Fatihah dan al-Ikhlas untuk si mati, tapi atas nama “si mati yang akan aku uruskan esok”, bukan nama sebenarnya.

Seperti dijanjikan, anak si mati sampai ke rumahnya pada pukul 10.00 pagi esoknya. Selepas mengambil Hajah Yam, kereta tersebut bergerak menuju ke rumah Allahyarham di hujung kampung.

Di dalam rumah, ahli keluarga mengelilingi jenazah sambil membaca ayat-ayat suci. Yang lain menyediakan kelengkapan pengebumian.

Hajah Yam memulakan tugasnya. Jenazah perlu dikebumikan sebelum  Zuhur.  Sambil  menyiram air dan menggosok tubuh jenazah, Hajah Yam menghampiri seorang wanita berusia 70-an yang turut membantunya. Wanita itu adalah ahli keluarga emak si mati. Dia memperkenalkan diri.

“Nek…” Hajah Yam bertanya, “Siapa nama arwah ni?”

Wanita tua itu menjawab perlahan, “Jamilah… Jamilah binti Wahab.”

Hajah Yam merenung wanita tua itu . Dia bagaikan tidak percaya dengan apa yang didengarnya tadi.

“Err… siapa nama dia, nek?” soalnya lagi untuk mencari kepastian.

“Jamilah … Jamilah binti Wahab, anak saya yang tua.”

Tangan Hajah Yam berhenti memandikan jenazah. “Jamilah? Jadi, yang malam tadi…?”