PENYANYI Elyana memohon doa orang ramai agar proses rawatan radioterapi yang akan dilakukan petang ini berjalan lancar bagi mengubati penyakit kanser limfoma yang dideritainya.

Elyana atau nama penuhnya Erneelya Elyana Emrizal, 33, berkongsi perkembangan kesihatannya yang sedang menerima rawatan di sebuah hospital.

Menurut pelantun lagu Kalis Rindu itu, dia perlu menjalani rawatan radioterapi selama 10 hari selain perlu dimasukkan tiga beg darah dan susu ke dalam badannya yang kini hanya seberat 35 kilogram.

“Satu beg darah dalam tiga jam, selepas itu akan disambung dengan susu sebab saya tidak cukup berat… berat badan saya 35 kilogram.

“Kemungkinan besar saya kena buat radioterapi sebab doktor tahu saya tak nak buat kemoterapi. Buat radioterapi di bahagian dada.

“Disebabkan saya sering batuk, bahagian hati dan paru-paru bengkak. Jadi, apa-apa pun kena buat CT scan sebelum buat radioterapi.

“Semoga semua berjalan lancar. Saya harap anda semua daapt doakan kelancaran dan kesihatan saya… semoga cepat sembuh. Saya juga akan mendoakan kesejahteraan hidup kita semua,” katanya.

Sebelum ini, Elyana mengesahkan menghidap kanser limfoma sejak 10 tahun lalu kini hampir memasuki tahap lima dan sudah merebak ke rahim, hati serta pangkal peha.