Ronaldo menjadi watak penting skuad Portugal sejak mula beraksi di pentas Euro pada edisi 2004./ Gambar FB FA Portugal.

Oleh Syed Saggaf

Malam tadi, Cristiano Ronaldo sekali lagi memecahkan rekod arena bola sepak.

Dia kini adalah penjaring terbanyak kejohanan Piala Eropah dengan 11 gol apabila menghasilkan dua lagi jaringan pagi tadi ketika bertemu dengan Hungary.

Ronaldo memecahkan rekod 36 tahun kejohanan yang dipegang oleh Micheal Platini, lagenda Perancis, yang menjaringkan sembilan gol pada tahun 1984.

Apa yang memberangsangkan adalah, Ronaldo mencapai kejayaan ini di dalam kehadiran kelimanya dalam kejohanan Euro ini setelah kali pertama menyertai skuad Portugal pada tahun 2004 ketika berusia 19 tahun.

Ini juga merupakan satu lagi rekod baharu kejohanan ini dan semalam adalah perlawanannya yang ke-22 di dalam pertandingan ini. Itu juga satu rekod.

Jika diimbas kembali kemenangan Portugal malam tadi, saya berpendapat antara faktor utama mereka menewaskan Hungary adalah kerana semangat ditonjolkan Ronaldo yang bukan sahaja untuk dirinya tetapi bagaimana dia memotivasikan rakan-rakan sepasukannya.

Saya sangat teruja melihat wajahnya yang sangat fokus dan serius ketika nyanyian lagu negara Portugal diperdengarkan.

Dia menyanyikan lagu negaranya dengan semangat yang membara dan mungkin di situlah kemenangan Portugal telah mula dijelmakan.

Ronaldo seperti magnet yang menarik rekod untuk pergi ke arahnya. Dia kini telah memecahkan berbagai-bagai rekod di persada bola sepak.

Antaranya, baru-baru ini, dia adalah orang pertama yang menjadi penjaring gol terbanyak di tiga liga utama Eropah yang berbeza.

Pencapaian ini dicapai tahun ini setelah berakhirnya Serie A Itali dengan dia menghabiskan musim menjaringkan 29 gol untuk pasukannya Juventus.

Sebelum ini, dia pernah menjadi penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris semasa mewakili Manchester United, Dia menjaringkan 31 gol pada musim 2007/2008.

Selain itu, dia menjadi penjaring terbanyak di La Liga Sepanyol tiga kali berturut-turut iaitu pada musim 2010/2011 dengan 40 gol, 2013/2014 (31 gol) dan pada musim 2014/2015 (48 gol).

Namun, antara banyak-banyak rekod yang pernah dipecahkan oleh Ronaldo, rekod yang paling unik dan menarik pada pendapat saya adalah dia telah menjaringkan gol di setiap minit perlawanan bola sepak.

Ini bermakna, di dalam 90 minit permainan bola sepak, dia telah mencipta satu gol di setiap minit, sepanjang kariernya.

Rekod ini tercipta ketika dia menjaringkan gol pada minit ke-7 ketika melawan Athelitco Madrid pada Februari 2014.

Pemain lain yang dikatakan pernah mencapai kejayaan ini adalah Gerd Muller, penyerang lagenda Jerman tahun 70-an dan juga penyerang Sweden, Zlatan Ibrahimovic.

Apa yang menarik perhatian saya adalah kenyataan Ronaldo ketika ditemuramah oleh Piers Morgan pada 17 September 2019.

Ronaldo sentiasa memberi motivasi kepada rakan sepasukan untuk memberikan aksi terbaik./ Fambar FB UEFA

Dia menyatakan yang dia bukannya jenis orang yang mengejar rekod dan meletakkan di dalam mindanya untuk mencari dan memecahkan rekod.

Baca artikel berkaitan: Di Sebalik Euro 2020: England dan keberkesanan laksana tugasan

Namun Ronaldo menegaskan bahawa dia sentiasa berusaha keras untuk menjadi orang yang berjaya. Dia percaya bahawa sekiranya berusaha keras, kejayaan akan datang dan rekod-rekod akan secara sendirinya terpecah.

Secara umumnya, kita harus mencontohi dan mengambil ikhtibar daripada semangat dan juga cara Ronaldo menghadapi kehidupannya.

Dia sentiasa menitikberatkan kerja keras dan fokus dalam mempersiapkan dirinya untuk menjadi yang terbaik di dalam bidang yang dia ceburi.

Sekiranya kita juga mempunyai mentaliti seperti Ronaldo, kita juga boleh menjadi orang yang berjaya di dalam bidang kita.

Jadi Ronaldo, mungkin anda boleh memecahkan rekod baharu musim depan di Liga Perdana Inggeris?

Syed Saggaf ialah ketua pegawai eksekutif syarikat minyak dan gas yang meminati sukan bola sepak.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram