DR NOOR HISHAM ABDULLLAH/ Gambar Fb Noor Hisham 1 Jun

BAGI memastikan segala usaha yang telah dijalankan dalam melawan penularan COVID-19 ini tidak sia-sia, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memohon kerjasama rakyat Malaysia untuk kekal mematuhi norma baharu dan prosedur operasi standard (SOP).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, orang ramai diseru kekal mengurangkan pergerakan di luar rumah kerana dibimbangi mungkin terkena jangkitan daripada varian baharu COVID-19 yang lebih mudah merebak dan mengakibatkan penyakit yang teruk.

“Daftarkan diri anda dan ahli keluarga bagi mendapatkan vaksin COVID-19 serta hadirlah ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berdasarkan tarikh temu janji yang diberikan.

“Bersama-sama kita berganding bahu dalam memerangi penularan COVID-19 agar kita dapat menuju ke arah pemulihan negara daripada jangkitan COVID-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, ujar Noor Hisham, walaupun terdapat penurunan kes baharu harian bagi tempoh dua minggu sekatan pergerakan iaitu mulai 1 Jun lalu, kes-kes COVID-19 di Unit Rawatan Rapi (ICU) masih tidak menunjukkan penurunan ketara.

Katanya, hal ini berikutan kemunculan varian-varian baharu yang mengakibatkan kes-kes dikesan dengan gejala serius iaitu kategori 4 serta 5 dan merosot pada kadar yang lebih cepat.

Menurut beliau, keadaan ini menyebabkan lebih ramai pesakit memerlukan bantuan oksigen dan alat pernafasan khususnya dalam kalangan golongan rentan seperti warga emas serta pesakit yang menghidap lain-lain penyakit (komorbiditi).

Baca artikel berkaitan: 5,150 kes baharu, N. Sembilan meningkat, KL turun

19 lagi kluster, 73 kematian, termuda berusia 20 tahun

“Penggunaan kapasiti ICU yang melebihi 100 peratus ini amat membimbangkan di mana tidak semua pesakit yang memerlukan rawatan kritikal dapat ditempatkan di ICU.

“Selain itu, penggunaan katil yang melebihi kapasiti ini juga disebabkan oleh keperluan tempoh pemulihan yang lama bagi pesakit-pesakit ICU untuk sembuh disebabkan komplikasi jangkitan COVID-19 yang serius.

“Secara purata, tempoh rawatan di ICU bagi kategori 4 adalah di antara 14 hari ke 16 hari, manakala bagi pesakit kategori 5 pula, tempoh rawatan di ICU adalah di antara 19 hari ke 26 hari,” jelasnya.

Menurut Noor Hisham, KKM dalam masa sama sentiasa bersiap siaga dengan situasi ini dan antara langkah yang telah diambil adalah menambah kapasiti katil bagi menempatkan pesakit COVID-19.

Katanya, ini melibatkan sebanyak 11,598 katil di hospital dan 31,861 katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Awam khusus dalam merawat pesakit COVID-19.

“KKM juga menaik taraf kegunaan katil (repurpose bed) di wad biasa kepada katil rawatan pesakit kritikal COVID-19, bekerjasama dengan hospital pengajar Kementerian Pengajian Tinggi antaranya Pusat Perubatan Universiti Malaya, Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM, Universiti Teknologi Mara, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Sains Malaysia.

“Terkini Hospital Kanak-kanak UKM bagi menggunakan fasiliti mereka untuk merawat pesakit COVID-19 selain bekerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam penubuhan Hospital Medan. Setakat ini enam buah Hospital Medan ATM telah dibina di hospital-hospital KKM.

“Selain itu, KKM bekerjasama dengan 112 buah hospital swasta khususnya di Lembah Klang bagi rawatan pesakit COVID-19 yang melibatkan sejumlah 1,274 katil wad biasa dan 128 katil ICU,” ujarnya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram