Semua pengangkutan awam hanya dibenar bawa separuh daripada kapasiti ketika sekeatan penuh PKP 3.0./ Gambar hiasan

APABILA dibenarkan beroperasi, patuhilah prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Itulah keluhan ramai melihat kepada sikap sebahagian majikan yang pandang sebelah mata SOP sekatan penuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ketika ini.

Bukan satu atau dua, sudah banyak dilaporkan majikan yang degil SOP seolah-olah virus COVID-19 ini tidak mengancam nyawa.

Terbaru, dilaporkan bas membawa pekerja tapak pembinaan di ibu negara tidak ikut SOP pengangkutan awam yang mengehadkan kapasiti kepada 50 peratus.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, pihaknya menahan sebuah bas membawa 34 pekerja tapak binaan warga Bangladesh di Jalan Tun H S Lee pada 7.30 pagi.

“SOP PKP 3.0 jelas, semua pengangkutan awam hanya dibenarkan membawa 50 peratus jumlah penumpang dari kapasiti penuh kenderaan itu.

“Dalam kes ini, kapasiti bas berkenaan adalah 44 penumpang.

“Tindakan majikan membenarkan 34 penumpang berkenaan atau 77 peratus daripada jumlah kapasiti dibenarkan adalah satu kesalahan pelanggaran SOP PKP,” katanya seperti dilapor portal Harian Metro hari ini.

Sehubungan itu, pihaknya mengeluarkan kompaun RM10,000 kepada majikan serta kompaun RM2,000 kepada pemandu bas tempatan berusia 40-an atas kesalahan itu.

Baca artikel berkaitan: Lagi kilang degil, tak ikut SOP jumlah pekerja

Mohamad Zainal berkata, pihaknya tidak menafikan ada lagi segelintir majikan yang degil dan enggan mematuhi SOP PKP ditetapkan pihak berkuasa.

“Majikan tahu mengenai SOP ditetapkan, namun masih berdegil dan enggan patuh kerana mungkin beranggapan mereka boleh mengelak dari tindakan pihak berkuasa.

“Namun, diingatkan bahawa pihak polis akan sentiasa melakukan pemeriksaan terutama secara mengejut bagi memastikan semua pihak termasuk majikan mematuhi SOP ditetapkan,” katanya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram