malaya

MALAYSIA berjaya menamatkan badi kekalahan selepas menewaskan Thailand 1-0 dalam aksi terakhir peringkat Kumpulan G kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai, awal pagi tadi.

Gol sepakan penalti dijaringkan pemain sayap kanan Muhammad Safawi Rasid pada minit ke-52 itu membolehkan Malaysia menduduki tempat ketiga Kumpulan G dan melangkah secara automatik ke pusingan ketiga Piala Asia 2023.

Peminat Harimau Malaya pada awalnya agak berdebar apabila sepakan Safawi berjaya ditampan oleh penjaga gol Thailand, Chatchai Budprom, bagaimanapun bola itu berjaya melolosi melepasi garisan gol bagi mengesahkan gol skuad negara.

Kejayaan itu memberi khabar gembira buat kem negara sebelum pulang ke tanah air selepas mengharungi empat kekalahan berturut-turut sebelum ini, termasuk dalam perlawanan persahabatan.

Pada perlawanan ‘hidup mati’ itu, kedua-dua pasukan yang memburu kemenangan pertama sejak kempen kelayakan itu bersambung melakukan enam pertukaran dalam kesebelasan utama masing-masing sebagai menyuntik nafas baharu dalam pasukan bagi memburu tiga mata berharga.

Pada aksi di Stadium Al Maktoum itu, ketua jurulatih negara, Tan Cheng Hoe membuat rombakan dalam kesebelasan utama dengan menyenaraikan Syahmi Safari, Arif Aiman Hanapi dan Akhyar Rashid, namun penyerang utama kekal milik Guilherme de Paula.

BERITA BERKAITAN Pemain naturalisasi Harimau Malaya dikritik ‘pedas’ peminat selepas tewas 0-4 kepada UAE

Keputusan itu ternyata membuahkan hasil apabila Arif dan Akhyar banyak membantu De Paula dalam memberi kesukaran terhadap benteng pertahanan skuad Gajah Perang.

Dalam separuh masa pertama perlawanan, kedua-dua pasukan saling menguji kekuatan benteng pertahanan masing-masing dengan pemain sayap Muhammad Akhyar Abdul Rashid dan pemain tengah Thailand Thanawat Suengchitthawon mempunyai peluang terbaik membuka tirai jaringan.

Thailand yang melakukan lima pertukaran bagi menguatkan barisan serangan dan tengahnya dalam separuh masa kedua hampir berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-87, namun gagal dalam percubaan- percubaan mereka dan kedudukan 1-0 memihak Harimau Malaya kekal hingga wisel penamat.

Keputusan itu juga turut menyaksikan ketua jurulatih kebangsaan Tan Cheng Hoe meraih kemenangan keduanya ke atas Thailand, selain berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dalam empat pertemuan kedua-dua pasukan sejak mula menggalas tugas pada Disember 2017.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram