rahsia nama anak adam

Seorang bayi dilahirkan ke dunia lalu dinamakan dengan nama yang menjadi pilihan kedua-dua ibu bapa.

Tanpa mengetahui apa sebabnya anak itu dari bayi hingga masuk ke alam persekolahan penuh dengan masalah. Tidak terkira dengan nakalnya, sering sakit, kreatif luar biasa dan sukar mendengar kata.

Setelah puas ibu bapa berusaha untuk mengatasi masalah anak itu namun tidak berhasil. Masih juga nakal dan tidak mendengar kata. Memang sudah menjadi kebiasaan orang kampung apabila anak bermasalah maka ia dirujuk kepada orang tua yang alim.

Lalu nama itu dibaca dan ditukarkan kepada angka dengan perkiraan yang tertentu. Kepada si ibu diserahkan secebis kertas yang tertulis di atas amalan zikir dan ayat-ayat tertentu yang perlu diamalkan sepanjang hidupnya untuk membantu si anak.

Selagi anak tidak pandai membaca maka ibulah yang akan berzikir, apabila anak sudah pandai maka dia perlu melakukannya sendiri. Dengan cara itu ternyata ia mampu membantu anak itu membesar sebagai seorang Islam yang berjaya di dalam hidup dan beriman.

Hal itu sebenarnya berlaku kepada Pengasas Akademik Aura Metafizik, Dr. Jamaluddin A. Jalal ketika kecil. Amalan zikir yang diberikan terus diamalkan dan ternyata ia mengubah dirinya dari seorang anak nakal menjadi seorang yang berjaya.

Dari situlah ilmu itu didalami dan dipraktikkan untuk membantu orang lain yang menghadapi masalah di dalam kehidupan.

Menurutnya, di dalam nama dan tarikh lahir ada rahsia tersendiri yang telah Allah kirimkan. Memang benar yang memberi nama adalah ibu bapa namun ilham itu datangnya daripada Allah.

Di situlah dikatakan, bersama nama itu Allah selitkan rahsia kehidupan seseorang. Sama ada berjaya, musibah, bahagia atau duka seseorang. Namun rahsia itu bukannya digunakan untuk meramalkan masa depan kerana sesuatu tentang masa depan adalah rahsia Allah, kita tidak berkuasa untuk mengetahuinya.

Angka tarikh lahir menggambarkan sikap dan tingkah laku seseorang

Setiap huruf pada nama ada getarannya yang boleh diukur dengan angka. Dari angka itulah yang akan terungkai rahsia sebahagian daripada kehidupan yang Allah bekalkan kepada setiap orang untuk berhadapan dengan segala rintangan.

Begitu juga dengan tarikh lahir, setiap angka menggambarkan sikap dan tingkah laku seseorang sama ada negatif atau pun positif. Apabila sudah diketahui rahsianya adalah lebih mudah untuk menanganinya dan bersedia.

Rintangan qada dan qadar

Allah sudah berikan caranya untuk menjalani kehidupan ini dengan lebih seimbang. Lebih memudahkan dan cepat untuk mencapai kejayaan.

Jelasnya, di dalam hidup ini ada banyak rintangan yang telah ditentukan oleh qada dan qadar Allah. Namun semua rintangan dan dugaan itu boleh diatasi dengan ilmu, doa dan mendekatkan diri dengan Allah. Sebab itulah amat penting bagi kita mempunyai ilmu untuk menangani segala rintangan.

Memang betullah, qada dan qadar telah ditentukan oleh Allah tapi kita masih boleh berdoa untuk mengubahnya. Allah itu Maha Berkuasa, Dia boleh memberi dan menarik balik bila-bila masa. Sebab itulah penting doa di dalam kehidupan Muslim. Doa itu senjata orang Mukmin.

Biasanya ulama dahulu menggunakan ilmu itu untuk mengetahui kelemahan dan kekuatan seseorang. Perkiraan berdasarkan nama itu kemudiannya akan diberikan amalan zikir yang boleh menyeimbangkan kehidupan akan datang. Pastinya kehidupan yang lebih baik, setiap orang mempunyai zikir yang khusus dari nama-nama Allah.

Sesungguhnya Allah berfirman di dalam surah al-A’raf: 180,

Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia) maka serulah (dan berdoalah) kepada-Nya dengan menyebut nama-nama itu, dan pulaukanlah orang-orang yang berpaling dari kebenaran dalam masa menggunakan nama-nama-Nya. Mereka akan mendapat balasan mengenai apa yang mereka telah kerjakan.”

Dr. Jamaluddin menambah, amalan zikir yang dilakukan secara berterusan dan penuh keyakinan akan memberi keseimbangan yang diharapkan. Konsepnya sama seperti yang diamalkan oleh orang tua-tua dahulu apabila anak sering sakit dan nakal akan dibawa berjumpa orang alim.

Dengan keberkatan doa orang alim dan ilham yang diberikan oleh Allah maka nama yang tidak sesuai itu ditukarkan dengan nama lain.

Jika tidak pun anak itu akan ‘dijual’ kepada jiran atau saudara mara dengan harga yang telah ditimbang berdasarkan nama anak tersebut. Harga itulah yang perlu dibayar oleh saudara yang mahu membelinya agar anak itu pulih.

Pun begitu, ilmu huruf dan angka itu akan menjadi syirik apabila dipelajari tanpa berguru kerana ia akan bertuhankan nombor. 

Sebaliknya angka itu hanya sekadar asas untuk mengetahui jumlah zikir yang sesuai dilakukan pada satu masa. Ilmu itu bukan meramal masa depan tapi cukuplah sekadar mengenal diri untuk menukarkan musibah kepada keseimbangan kehidupan.

Itulah jalan yang Allah berikan pada setiap hamba Nya, sebagai sifat penyayang Nya. Allah itu tidak akan membiarkan kita menjalani kehidupan ini tanpa dibimbing.

Sebagaimana firman Allah di dalam hadis qudsi, “Aku adalah rahsia manusia. Manusia adalah rahsia Ku.”

________________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram