Imri Mokhtar pada Pelancaran Program Digital Pekan Rabu Bersama TM oleh Menteri Kewangan Malaysia bertempat di Ruang Legar Utama Pekan Rabu, Alor Setar Mac lalu./ Gambar hiasan FB Warta Kedah

TELEKOM Malaysia Bhd (TM) mengalu-alukan pengumuman Pelan Pemulihan Negara yang menggariskan strategi dan syarat keluar empat fasa bagi Malaysia untuk mengatasi kesan sosioekonomi wabak COVID-19.

Dalam satu kenyataan, TM menyokong sepenuhnya rancangan pemulihan yang disusun berdasarkan tiga syarat – jumlah kes harian, kapasiti penjagaan kesihatan perubatan dan kadar vaksinasi nasional.

Pengarah Urusan dan Ketua Kumpulan Pegawai Eksekutif TM, Imri Mokhtar berkata, pihaknya mengalu-alukan gambaran jelas kerajaan menerusi Pelan Pemulihan Negara.

“Ia sememangnya satu repons yang diperlukan akibat kesan ekonomi dan sosial yang serius susulan wabak COVID-19.

“Kami berharap pelaksanaan pelan ini dilakukan dengan berkesan dan negara dapat keluar dari pandemik COVID-19 ke tahap normal yang munasabah menjelang akhir tahun, menghidupkan semula ekonomi serta menempatkan negara pada landasan pertumbuhan baru,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, kata Imri, TM melaksanakan pelbagai langkah bagi menyokong Pelan Pemulihan Negara antaranya menggalakkan vaksinasi di peringkat dalaman dan setakat ini, 65 peratus daripada warga TM sudah mendaftar.

Katanya, syarikat juga akan menjalankan kempen dalaman untuk mengumpulkan Sukarelawan TM bagi mengambil bahagian dalam program Sukarelawan Sokongan Vaksin Malaysia (MyVAC) untuk Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin COVID-19 (JKJAV) bagi membantu proses vaksinasi di Pusat-pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negara.

Baca artikel berkaitan: PM umum fasa peralihan PKP berperingkat, ‘lockdown’ tamat apabila kes harian bawah 4,000

“TM juga menawarkan tempat yang sesuai di seluruh negara untuk PPV, pandu lalu dan stesen unit bergerak

“Hari ini, kampus Universiti Multimedia Melaka memulakan operasinya sebagai kemudahan PPV untuk JKJAV.

“TM juga menghubungkan PPV di seluruh negara dengan perkhidmatan akses internet untuk membolehkan barisan hadapan, pasukan perubatan, sukarelawan dan juga orang awam kekal terhubung semasa proses vaksinasi,” jelasnya.

Menurut Imri, lebih daripada RM8 juta telah disalurkan untuk inisiatif pembangunan negara setakat ini, dari segi bantuan kemanusiaan berbentuk perubatan dan bukan perubatan untuk komuniti yang memerlukan semasa pandemik.

Terbaharu, katanya, TM juga menubuhkan Tabung Solidariti COVID-19 TM sebagai kesinambungan usaha sumbangan derma daripada anggota TM tahun lalu, yang mengumpulkan dan mengagihkan sejumlah RM800,000 menerusi pelbagai usaha.

“Setakat ini, ahli-ahli Lembaga Pengarah TM dan warga TM menjanjikan dana sebanyak RM600,000 lagi untuk tabung berkenaan melalui potongan gaji dan elaun secara sukarela.

“Sumbangan ini akan dipadankan oleh Syarikat, menjadikan jumlahnya RM1.2 juta setakat ini. Sumbangan terbabit akan disalurkan ke Akaun Amanah Bencana yang diwujudkan oleh kerajaan,” katanya.

Beliau menjelaskan, TM juga terus menyokong negara dan masyarakat yang memerlukan melalui inisiatif sambungan seperti Jaringan Prihatin, CERDIK dan MYBAIKHATI.

“TM mengulangi komitmennya untuk memastikan keselamatan dan kesihatan pelanggan dan warga TM dengan aturan kerja khas yang dilaksanakan dan prosedur standard operasi (SOP) yang dipertingkatkan ke arah kesinambungan perniagaan dan khidmat pelanggan.

“Syarikat akan terus memantau perkembangan situasi dari masa ke semasa, mematuhi SOP di bawah fasa tertentu yang diperincikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan menyesuaikan perkhidmatannya untuk membantu pelanggan,” katanya.

TM mengambil langkah proaktif dalam operasinya untuk memastikan kediaman dan perniagaan kekal terhubung; dengan mematuhi sepenuhnya SOP dan garis panduan yang ditetapkan oleh MKN.

Premis TMpoint dan rakan-rakan jualan utama dibuka untuk permohonan perkhidmatan dan transaksi penting, tertakluk kepada peraturan pihak kerajaan dan pihak berkuasa tempatan.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram