buatan orang buatan sendiri

Sewaktu menunggu giliran untuk membuat urusan di kaunter KWSP Pahang, saya terdengar perbualan dua orang wanita yang duduk di hadapan saya. Perbualan mereka itu menarik perhatian saya kerana ia  berkaitan ilmu hitam.

Mereka bercerita tentang saudara mereka yang jatuh sakit secara tiba-tiba selepas pulang dari sebuah negeri di utara semenanjung. Mangsa dikatakan mengalami muntah-muntah darah dan batuk berpanjangan. Menurut mereka, mangsa telah dibawa bertemu beberapa orang perawat dan semua perawat mengatakan bahawa mangsa terkena buatan orang.

Saya yakin para pembaca juga biasa mendengar cerita sedemikian. Persoalan yang timbul, adakah dakwaan terkena buatan orang itu benar? Tidakkah kita terfikir ia mungkin berpunca dari buatan sendiri?

Seorang pengkaji dari Barat, William Shaw telah mengkaji amalan mistik masyarakat Melayu-Islam. Dalam bukunya Aspects of Malaysian Magic halaman 49, beliau menyatakan, sebilangan masyarakat di Malaysia percaya bahawa mereka telah menjadi mangsa ilmu hitam dan telah mencari jalan untuk mendapatkan rawatan di samping ‘memulangkannya’ kepada tuannya.

Apa yang dinyatakan oleh William Shaw memang benar. Ramai pesakit yang ditemui mendakwa punca sakitnya dari buatan orang, di mandrem, terkena ilmu hitam, terkena guna-guna, santau angin dan sebagainya.

Dakwaan sebegini timbul disebabkan tanda-tanda aneh yang dialami oleh mangsa dan disokong pula oleh ramalan dan telahan oleh perawat-perawat yang tidak bertanggungjawab. Akhirnya, timbul prasangka dalam hati pesakit terhadap individu-individu tertentu yang disyaki menyihirnya.

Lantas tercetus pergaduhan dan persengketaan. Lebih parah, mangsa turut meminta khidmat pengamal sihir untuk menyihir kembali orang tersebut.

Bahaya Mempercayai Ramalan dan Telahan Rambang Perawat

Kepercayaan dakwaan sedemikian mengundang pelbagai kesan negatif dan ia perlu dihindari. Sebagai seorang Islam, kita wajar menyiasat dahulu adakah dakwaan sedemikian benar.

Perbuatan menuduh seseorang melakukan perbuatan mensyirikkan Allah (iaitu sihir dan ilmu hitam) boleh menjejaskan akidah sekiranya tuduhan tersebut tidak benar. Allah S.W.T. mengingatkan kita akan bahaya mempercayai berita, cerita, perkhabaran, telahan, ramalan atau tuduhan yang dilakukan oleh orang fasik. Firman-Nya surah Al Hujurat: 6,

Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.

Perbuatan menemui perawat yang mempunyai kebolehan untuk mengenal pasti punca penyakit melalui ramalan, tilikan, imbasan (scan), ilham dan lain-lain unsur mistik boleh menjerumuskan kita ke dalam tipu daya syaitan.

Ini kerana berita-berita ghaib yang disampaikan oleh mereka adalah bersumber daripada syaitan dan jin yang dijadikan khadam atau sahabat. Firman Allah surah As-Syu’ara: 221-223,

Mahukah Aku khabarkan kepada kamu, kepada siapakah syaitan-syaitan itu selalu turun? Mereka selalu turun kepada tiap-tiap pendusta yang berdosa, yang mendengar bersungguh-sungguh (apa yang disampaikan oleh syaitan-syaitan itu), sedang kebanyakan beritanya adalah dusta.”

Lebih mengelirukan apabila terdapat sebilangan pengamal perubatan yang menggunakan kaedah dan penampilan yang kelihatan Islamik bagi mengaburi mata pesakit. Ada di antara mereka menggunakan ayat-ayat dari al-Quran dan tasbih untuk menilik punca penyakit misteri dan melihat siapa dalangnya.

Terdapat juga perawat yang melakukan solat sunat untuk melihat wajah orang yang melakukan sihir terhadap mangsa. Kaedah-kaedah yang kelihatan Islamik ini menyebabkan pesakit mempercayai sepenuh hati bahawa dakwaan perawat itu benar.

Nabi Muhammad s.a.w. mengingatkan umatnya dengan sabdanya,

Adalah bohong apa yang diberitahu oleh ahli nujum sekalipun bertepatan dengan apa yang diberitahunya.”

Antara Buatan Orang dan Buatan Sendiri

Untuk makluman para pembaca, selain disebabkan penggunaan ilmu hitam, gangguan makhluk halus pada manusia boleh terjadi dengan beberapa sebab yang lain. Antaranya ialah:

  • Saka

Istilah saka (dalam konteks perubatan tradisional) merujuk kepada makhluk halus yang dijadikan sahabat atau khadam oleh keturunan atas (ibu bapa atau nenek moyang) untuk menjaga dirinya, anak cucunya dan harta bendanya. Apabila tuannya meninggal dunia, maka saka ini akan mencari tuannya yang baru dari keturunannya yang bawah (anak cucu). Makhluk inilah yang menimbulkan gangguan-gangguan yang kelihatan sama dengan simptom disihir.

  • Amalan kebatinan yang menyeleweng

Seseorang yang menuntut ilmu kebatinan seperti ilmu kebal, ilmu ghaib, ilmu pendekar, ilmu cantik juga mempunyai risiko diganggu makhluk halus. Kehadiran makhluk halus tersebut bukan dihantar oleh tukang sihir sebaliknya kerana pemujaan yang dilakukan oleh pengamal melalui pelbagai amalan tertentu seperti bertapa, bacaan mantera atau ayat-ayat tertentu dalam waktu tertentu, amalan pati geni dan sebagainya.

  • Rawatan menggunakan makhluk halus
Merawat dengan bomoh juga boleh menyebabkan gangguan.

Seseorang yang mendapatkan rawatan daripada perawat yang menggunakan makhluk halus sebenarnya membuka ruang kepada khadam belaan orang tersebut untuk memasuki dan menyerap dalam tubuhnya. Rawatan ini biasanya melibatkan upacara yang aneh dan pelik seperti menurun, main puteri, tok bageh, bedah batin, ulik mayang, alin telur dan yang seumpamanya.

  • Memagar atau mendinding rumah dengan cara yang berlawanan syariat

“Harapkan pagar, pagar makan padi”. Begitulah perbuatan memagar kediaman dengan cara yang salah. Ia sebenarnya menjerumuskan penghuni kediaman kepada gangguan makhluk halus.

Ini kerana yang ditugaskan untuk menjaga rumah bukanlah malaikat tetapi makhluk-makhluk halus yang lambat laun akan menjahanamkan keharmonian rumah tangga.

  • Simpan azimat, tangkal atau barang lama

Menggantung dan menyimpan sebarang tangkal, azimat, wafaq atau barang berpuja seperti keris atau barang-barang lama. Perbuatan ini juga akan mengundang gangguan kepada diri dan kediaman mangsa.

Walaupun puncanya berlainan, namun kesan yang dirasai oleh mangsa adalah sama. Ini bermakna, apabila seseorang terlibat dengan salah satu perkara yang dinyatakan di atas, maka mudahlah mereka diganggu oleh makhluk halus. Tanda-tanda gangguan makhluk ini dapat dilihat melalui beberapa sudut.

Fizikal

Kebiasaannya mangsa akan merasa badannya sakit mencucuk-cucuk, terasa panas, terasa bisa-bisa, terasa kebas. Ada kalanya timbul tompok lebam berwarna biru kehitaman di paha dan lengan, sakit kepala pada waktu tertentu, terasa berat seperti memikul sesuatu, terasa sesuatu mencakar-cakar belakangnya, muntah darah dan hilang selera makan.

Mental

Mangsa biasanya menjadi resah dan gelisah sehingga tidak boleh tidur malam, sering bermimpi dikejar binatang buas atau lembaga hitam, disengat haiwan berbisa, atau jatuh dari tempat yang tinggi, terdengar suara atau bisikan yang memanggil atau menyuruhnya melakukan sesuatu, sering berasa waswas, bimbang, ragu-ragu dan takut yang melampau.

Mangsa sering melihat kelibat atau jelmaan lembaga yang menakutkan.

Emosi mangsa serangan makhluk halus juga biasanya tidak stabil. Mangsa akan ketawa atau bercakap seorang diri, meracau-racau, murung, marah tanpa sebab, menolak pinangan orang, tidak mahu bergaul dengan orang sekeliling.

Manakala gangguan di kediaman atau premis perniagaan menyebabkan mangsa terlihat jelmaan atau lembaga yang menakutkan, atau bunyi-bunyian yang pelik. Kadang-kadang pelanggan yang datang ke premisnya nampak seolah-olah ia tertutup walaupun sebenarnya ia dibuka.

Semua kesan yang dinyatakan merupakan petanda-petanda bahawa seseorang itu kemungkinan mengalami gangguan makhluk halus. Sekiranya kita atau ahli keluarga ada mengalaminya, jangan kita terburu-buru membuat kesimpulan bahawa ia akibat buatan orang. Boleh jadi ia berpunca dari buatan diri sendiri.

Oleh: Dr. Mahyuddin Ismail, Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Pahang

___________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram