PELAKON Zul Ariffin berpendapat, seorang anak seni tidak semestinya perlu melakonkan watak bersentuhan semata-mata untuk menghidupkan karakter yang diamanahkan oleh pengarah.

Jelas Zul, 35, sebagai seorang pelakon, dia perlu menghormati pelakon yang digandingkan dengannya demi keselesaan dua pihak sepanjang penggambaran berlangsung.

“Saya tiada masalah memberikan kerjasama dengan mana-mana pelakon sama ada orang lama atau baharu. Saya hormati prinsip dan pendirian rakan artis terutama yang bertudung.

“Saya kena terima situasi ini… lain orang lain caranya. Ada yang boleh bergurau dengan cara begini dan sebaliknya. Bagi saya secara peribadi, kerja berlakon ini lebih kepada rasa hormat dengan pelakon lain.

“Kalau tak nak bersentuhan, jadi tak perlulah buat sebab tak semua adegan mesra itu akan memberi kesan. Lagi pula, berlakon drama kita tak ada banyak masa untuk sesi bacaan skrip.

“Hanya di lokasi penggambaran adalah tempat dan waktu untuk kita memahami pelakon lain terutama rakan gandingan kita sebab bila datang ke ‘set’ barulah kita faham sama ada orang selesa dengan kita atau tidak,” katanya kepada URTV.

Zul berkongsi pendapatnya ketika sidang media drama Love Elsa yang diadakan secara maya baru-baru ini. Menerusi drama tersebut, buat pertama kalinya Zul digandingkan dengan pelakon dan pengacara Uyaina Arshad.

Sementara itu, Zul sempat memuji cara gerak kerja pengarah drama terbabit iaitu Michael Ang yang disifatkan sangat memudahkan urusan orang lain.

“Michael sangat menghormati barisan pelakon Love Elsa selain tidak terlalu memaksa jika ada yang tidak selesa dengan babak yang dijayakan.

“Kadangkala ada saja masalah yang berlaku di set, namun Michael seorang yang bijak dalam pengurusan menyelesaikan masalah sekaligus menyenangkan urusan orang lain.

“Sesiapa sahaja yang pernah berlakon di bawah arahannya pasti akan rasa nak bekerjasama lagi pada masa akan datang,” ungkapnya.

Selain Zul dan Uyaina, Love Elsa turut dibintangi oleh Riz Amin, Mona Allen, Ramona Zam Zam, Zeera Azizi dan ramai lagi.

Ditayangkan di slot Mega Drama, Astro Ria, setiap hari Isnin hingga Khamis, pukul 10 malam.

TONTON VIDEO PILIHAN: