SELEBRITI dan usahawan popular, Neelofa sebak melihat ketabahan dan kegigihan penyanyi Elyana yang kini berada di hospital bagi menjalani rawatan radioterapi.

“Masya-Allah saya pula nak menangis tengok video ini. Saya kagum sebab Elyana boleh senyum dan ceria dalam kesakitan.

“Moga Allah kurniakan kesembuhan untuk awak,” kata Neelofa yang mengulang siar video yang dikongsikan oleh Elyana menerusi akaun Instagram miliknya.

Terdahulu, Elyana menerusi kemas kini terbaharu di Instagram, berkongsi perasaan terharu dan gembira apabila menerima hadiah istimewa koleksi tudung jenama Naelofar milik Neelofa.

Menerusi video berdurasi satu minit 43 saat itu, Elyana atau nama penuhnya Erneelya Elyana Emrizal,33, menunjukkan beberapa kotak yang berisi beberapa helaian tudung yang dihantar kepadanya di wad hospital.

“Saya sangat gembira hari ini. Nak dijadikan cerita saya bawa satu tudung saja ke hospital, tiba-tinba Neelofa bagi saya pelbagai koleksi tudung miliknya.

“Memang rezeki saya dan sangat bermakna. Terima kasih Neelofa. Tak sabar nak lihat koleksi dalam bungkusan ini sambil proses memasukkan susu ke dalam badan.

“Semoga Neelofa murah rezeki dan bahagia selalu,” katanya.

Terdahulu, URTV melaporkan Elyana kini sedang menjalani rawatan radioterapi bagi mengubati kanser limfoma yang dihidapinya sejak 11 tahun lalu.