TIGA lelaki Yemen semalam dihukum tembak hingga mati di khalayak awam di wilayah yang dikuasai pemberontak Houthi selepas didapati bersalah membunuh kanak-kanak.
Daily Mail melaporkan, hukuman mati itu dilaksanakan ke atas Ali al-Naami, 40, Abdullah Al-Makhali, 38, dan Mohammed Arman, 33, di Dataran Tahrir dekat Sana’a.
Kesemua lelaki itu memakai pakaian penjara berwarna biru sebelum diarahkan meniarap di atas permaidani oleh pelaksana hukuman yang memakai uniform hijau tentera, bersarung tangan hitam dan bersenjatakan raifal AK-47.

Sejurus selesai hukuman mati dilaksanakan, jenazah ketiga-tiga lelaki itu kemudiannya ‘dibalut’ dengan permaidani sebelum dibawa pergi.
Ia merupakan hukuman mati dikhalayak yang pertama dibuat sejak Ogos 2018 apabila kumpulan pemberontak yang disokong Iran itu menembak mati tiga lelaki dan menggantung mayat mereka pada sebuah kren kerana merogol dan membunuh kanak-kanak.
Perang saudara di Yemen sejak 2014 mengorbankan lebih 130,00 orang dan mengheret negara itu ke dalam krisis kemanusiaan terburuk di dunia.

Kumpulan Houthi melaksanakan usaha memerangi jenayah di kawasan di bawah penguasaan mereka termasuk di sebahagian besar utara negara itu.
Mereka yang menjalani hukuman mati semalam disabitkan dengan jenayah keji.
Abdullah Ali al-Mukhali dan Mohammed Arman, disabitkan atas kesalahan rogol dan bunuh seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun.
Al-Naami Pula didapati bersalah membunuh tiga anak perempuannya Rahaf, 7, Raghad, 12, dan Malak, 14, pada Jun 2019.Â
Dia mengaku mencekik anak perempuannya sebelum melemaskan mereka pada sebuah tangki air setelah ibu mereka meninggalkan lelaki itu kerana masalah rumah tangga.
Orang ramai dilihat merakamkan detik-detik pelaksanaan hukuman itu dengan telefon pintar masing-masing.
Pada satu imej lain,dua anggota perubatan dirakam memeriksa keadaan lelaki yang ditembak itu bagi mengesahkan kematian mereka.

