cara kesan makhluk halus

Terdapat 3 langkah mudah yang boleh dilakukan sekiranya seseorang mengalami tanda-tanda diganggu makhluk halus.

Langkah 1: Pandang dan lihat kekuasaan Allah

Apabila ditimpa penyakit-penyakit misteri, janganlah cepat mendakwa, kita telah terkena buatan orang atau sihir. Janganlah pula kita pergi mendapatkan khidmat perawat-perawat yang kononnya boleh melihat dan menilik siapa yang menjadi dalangnya.

Sebaliknya, hendaklah kita segera melihat bagaimana kekuasaan Allah dalam memberi kebaikan atau menimpakan mudarat kepada manusia. Hendaklah kita menanam dalam hati bahawa hanya Allah S.W.T. yang mampu memudaratkan kita, bukannya makhluk halus. Firman Allah dalam surah Al Baqarah ayat 102,

Dalam pada itu ada juga orang-orang mempelajari dari mereka berdua (Harut dan Marut) akan ilmu sihir yang boleh menceraikan antara seorang suami dengan isterinya, padahal mereka (pengamal-pengamal sihir) tidak akan dapat sama sekali memberi mudarat dengan sihir itu seseorang pun melainkan dengan izin Allah.”

Langkah 2: Selidiki punca-punca terjadinya gangguan

Apabila ditimpa gangguan misteri, hendaklah kita selidik, adakah terdapat pintu dan lorong yang memudahkan makhluk halus untuk masuk ke dalam diri kita. Cara untuk menyelidikinya adalah dengan bertanya soalan-soalan berikut:

  • Adakah kita beramal dengan amalan-amalan khurafat?
  • Adakah kita mempunyai keturunan yang bersahabat dengan makhluk halus?
  • Adakah kita pernah mendapatkan rawatan dari seseorang yang menggunakan kaedah yang bertentangan syariat?
  • Adakah kita ada menyimpan tangkal, azimat atau wafaq?

Sekiranya ada, maka sayugia kita segera bertaubat mohon ampun kepada Allah. Lakukan solat sunat taubat dan memperbaharui semula syahadah kita, sebagai tanda kita kembali bertuhankan Allah.

Solat dan doa adalah senjata ampuh menundukkan iblis dan syaitan

Moga-moga dengan kembalinya kita kepada Allah, Allah akan mendatangkan perlindungan dan pertolongan. Selepas itu, mintalah bantuan daripada Allah dengan bersabar dan bersolat.

Langkah 3: Musnahkan jalan masuk makhluk halus ke dalam diri kita

Sekiranya gangguan dipercayai ada kaitan dengan saka, maka barang-barang kesayangan pemilik saka seperti senjata atau barang kemas perlu dimusnahkan. Kebiasaannya, barang-barang itu turut dijaga oleh makhluk tersebut selepas kematian tuannya.

Sekiranya kita ada beramal dengan amalan kebatinan, maka hentikanlah amalan tersebut dan banyakkanlah bertaubat.

“Sekiranya kita ada menyimpan tangkal, azimat atau wafaq, maka bakarlah kesemua benda-benda tersebut dan bertaubatlah kepada Allah”

Mengharap perlindungan dari Allah yang Maha Kekal lebih baik dari berharap kepada sesuatu yang fana’.

Sekiranya gangguan masih berlaku, maka bersabar dan berdoalah agar Allah temukan dengan perawat yang selari dengan syariat. Hindarkan dari mendapatkan khidmat perawat yang suka mempamerkan perkara-perkara luar biasa.

Allah S.W.T. melarang orang-orang beriman dari mendapatkan khidmat seseorang untuk meramal atau menilik punca penyakit kerana ia sebahagian dari amalan syaitan sebagaimana firman Allah dalam surah Al Maidah ayat 90,

Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan.

Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi (dan sembah berhala dan undi nasib), dan mahu memalingkan kamu dari  mengingati Allah dan dari  mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahu kah kamu berhenti (dari  melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?

Berhati-hatilah dengan perawat yang melakukan tilikan atau ramalan terhadap diri anda dengan menggunakan nama ibu anda, atau tarikh lahir anda, atau warna kegemaran anda, atau huruf-huruf hijaiyyah pada nama anda, atau hanya dengan melihat diri anda, atau dengan cara imbasan batin (scan) sahaja, lalu menyatakan bahawa diri anda dihuni oleh puluhan jin, atau anda telah terkena buatan orang.

Dibimbangkan anda akan mengesyaki saudara terdekat atau orang-orang di sekeliling yang melakukannya. Lantas anda merasa benci dan menaruh syak wasangka kepadanya sedangkan dia tidak melakukan apa-apa pun terhadap anda.

_________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram