DR NOOR HISHAM ABDULLAH./ Gambar FB MKN

SEBANYAK 23 lagi kluster baharu COVID-19 dilaporkan hari ini sekali gus menjadikan kluster aktif seluruh negara mencecah 810.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, daripada jumlah keseluruhan, 17 kluster dikesan berkaitan tempat kerja, empat kluster komuniti, satu kumpulan berisiko tinggi dan satu pusat tahanan.

Beliau berkata, sembilan daripada 17 kluster tempat kerja yang dilaporkan hari ini melibatkan perindustrian.

Kata beliau, Selangor mencatatkan jumlah tertinggi kluster baharu iaitu sebanyak lapan melibatkan tujuh kluster tempat kerja dan satu lagi kumpulan berisiko tinggi.

Dr. Noor Hisham berkata, ini diikuti tiga di Johor dan masing-masing dua di Melaka, Kuala Lumpur, Sarawak serta Perak.

“Kluster tempat kerja yang merekodkan kadar jangkitan tertinggi adalah Tapak Bina Air Panas di Kuala Lumpur iaitu melibatkan 176 positif COVID-19 daripada 435 ujian saringan.

Baca artikel berkaitan: 74 kematian akibat COVID-19, 13 tiada latar belakang penyakit

“Satu kluster pusat tahanan iaitu Tembok Taiping 2 di Perak pula merekodkan jumlah tertinggi keseluruhan iaitu sebanyak 327 kes positif daripada 944 yang disaring,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berdasarkan kenyataan tersebut, sebanyak 534 kes positif COVID-19 telah dikesan daripada keseluruhan 17 kluster baharu tempat kerja hari ini.

Secara keseluruhan, sebanyak 2,580 kluster telah dilaporkan berlaku dalam negara dengan 1,770 kluster diisytiharkan tamat.

Sementara itu, Dr. Noor Hisham turut menasihati individu-individu yang telah menerima vaksin COVID-19 supaya terus mematuhi saranan serta nasihat-nasihat kesihatan.

Kata beliau, ia termasuk mengelakkan 3S iaitu kawasan sesak, sempat dan sembang pada jarak dekat serta mengamalkan 3W iaitu wash, wear dan warn.

“Patuhlah kepada prosedur operasi standard (SOP) sebagai normal baharu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Orang ramai akan sentiasa dimaklumkan sebarang perkembangan terkini mengenainya. KKM juga akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram