Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama Petugas Jabatan Kesihatan dan Persekitaran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengangkat jenazah pesakit Covid-19 untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam, baru-baru ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

KES kematian akibat COVID-19 naik semula hari ini kepada 74 korban sekali gus menjadikan kematian kumulatif sebanyak 4,276 kes.

Semalam, kematian angkara COVID-19 menurun kepada 60 kes.

Korban disebabkan wabak itu hari ini melibatkan 68 warganegara dan enam bukan rakyat Malaysia.

Lebih membimbangkan, daripada jumlah keseluruhan kematian yang dilaporkan hari ini, sebanyak 13 kes tidak mempunyai latar belakang sebarang penyakit.

Ia termasuk kes kematian termuda melibatkan seorang wanita berusia 29 tahun di Labuan.

Kes itu juga merupakan Brought in Dead (BID) dengan jenazah dibawa ke Hospital Labuan.

Selain itu, kematian hari ini turut melibatkan seorang warga emas berusia 83 tahun yang tidak mempunyai latar belakang penyakit dengan jenazahnya dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh.

Baca artikel berkaitan: 20 kluster tempat kerja, 60 kematian, termuda 29 tahun

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kematian tertinggi hari ini dilaporkan di Selangor melibatkan 28 nyawa diikuti sembilan kes di Negeri Sembilan dan masing-masing tujuh di Sarawak serta Johor.

Selain itu, Dr. Noor Hisham berkata, enam kes dilaporkan di Sabah; lima di Labuan dan empat di Kuala Lumpur.

“Sebanyak tiga kes dikesan di Melaka, dua di Pahang serta masing-masing satu kes di Perak, Terengganu dan Kedah.

“Korban tertua hari ini melibatkan seorang wanita berusia 91 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit kanser – meninggal dunia di Hospital Jelebu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Dr. Noor Hisham, sebanyak enam kes adalah melibatkan BID dengan empat daripadanya berlaku di Labuan.

Sementara itu, beliau memaklumkan, kes yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) masih tinggi iaitu sebanyak 894 kes dengan 451 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Berdasarkan kepada penularan baharu yang dilaporkan hari ini iaitu 6,440 kes, sebanyak lima daripada merupakan kes import dengan tiga adalah bukan rakyat Malaysia.

Kes jangkitan baharu hari ini melibatkan 4,662 rakyat Malaysia manakala bakinya iaitu 1,773 bukan warganegara.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram