ayam goreng vietnam

Resipi ayam goreng Vietnam atau Vietnamese fried chicken ini lengkap dengan pelbagai rasa setiap kali gigitan. Memang sukar nak berhenti makan dan sesuai untuk diratah begitu sahaja.

Rasa masin yang terdapat pada ayam bukanlah daripada garam, sebaliknya adunan sos ikan yang memberi keseimbangan rasa pada masakan.

Bahan :

1 kg Kepak ayam

1½ cawan Tepung jagung

1 sudu kecil Baking powder

6 ulas Bawang putih (dicincang & digoreng)

2 sudu besar Daun ketumbar (2 sudu besar – dicincang)

Minyak masak secukupnya – goreng ayam

Bahan perap :

1 sudu besar Sos ikan

1 sudu kecil Pes bawang putih / serbuk bawang putih

1 kiub ayam

1 sudu kecil Serbuk lada putih

Bahan sos manis masin / Sweet salty sauce :

3 sudu besar Sos ikan

2½ sudu besar Gula

2 sudu besar Jus limau

3 batang Cili padi merah – dipotong

Cara :

1. Di dalam mangkuk besar, masukkan ayam dan bahan perapan. Gaul sebati dan perap sekurang-kurangnya 30 minit.

2. Untuk memasak Sos manis masin, sediakan periuk kecil dan masukkan bahan-bahan sos tadi. Masak di atas api sehingga gula larut dan sejukkan. Ketepikan.

3. Panaskan minyak di dalam kuali besar, letakkan chopstick atau kayu lidi di tengah-tengah. Apabila minyak berbuih di permukaan kayu lidi tadi, bermakna minyak sudah panas dengan sempurna.

4. Sementara itu, sediakan mangkuk besar, masukkan tepung dan baking powder. Salutkan ayam bersama tepung tadi satu persatu. Kemudian goreng ayam selama 15 minit atau sehingga ayam menjadi garing keemasan.

5. Kemudian angkat ayam yang digoreng tadi dan biarkan rehat seketika.

6. Di dalam minyak yang betul-betul panas tadi, masukkan semula ayam dan gorengkan lagi dua hingga tiga minit. Tujuannya agar ayam lebih rapuh di luar dan lebih warna keperangan. Angkat dan tapiskan ayam tadi pada tisu.

7. Akhir sekali, sediakan bekas dan masukkan ayam yang telah digoreng tadi bersama bawang putih yang telah digoreng, daun ketumbar hiris dan tuangkan Sos Manis Masin. Gaul rata atau sebati. Boleh dihidangkan.

Sumber : Nurul Ateekah