TENGAH hari itu matahari memancar terik. Cahayanya menyimbah masuk melalui tingkap cermin yang dibuka luas. Guru kelas kami masih mendiamkan diri, dia memandang ke luar dengan mata digenangi air.

Kami terus menyalin nota di papan hitam. Sesekali saya memandang ke arah guru kami itu, yang masih lagi termenung dan memandang ke luar. Apa sebenarnya yang bermain di fikirannya, saya bertanya-tanya sendirian.

Beberapa minit sebelum kelas berakhir, dia memandang kami dengan wajah muram, kemudian berkata dengan suara yang lembut.

“Sebelum kamu semua balik, saya hendak berkongsi sesuatu dengan kamu. Ia tiada kaitan dengan mata pelajaran yang saya ajar tadi tetapi sangat penting kepada kamu semua. Kita semua dihidupkan untuk belajar, berkongsi, mengasihi, menghargai dan mengabdikan diri kepada Yang Maha Esa.

Kita semua dihidupkan untuk mengasihi dan menghargai apa yang ada di sekeliling kita.

“Tiada siapa di antara kita yang tahu bila kehidupan yang indah ini akan berakhir. Ia boleh berakhir pada bila-bila masa sahaja dalam sekelip mata. Barangkali inilah cara Tuhan memberitahu kita bahawa setiap detik yang kita lalui ini amat berharga.”

Saya lihat beberapa titis air mengalir, lalu jatuh ke pipinya apabila dia berkata, “Jadi, saya mahu kamu semua berjanji kepada saya satu perkara. Mulai saat ini, ketika kamu dalam perjalanan ke sekolah, atau dalam perjalanan balik, carilah sesuatu yang indah untuk dinikmati dan dihargai.

“Ia tidak semestinya sesuatu yang kamu lihat, boleh jadi yang kamu hidu, misalnya bau roti atau masakan dari rumah seseorang yang kamu lintasi, atau bunyi kicauan burung dan desiran angin, atau mungkin juga sinaran matahari dan daun-daun yang gugur melatari tanah yang kamu lalui.

Daun kering yang gugur di tanah juga ada keindahan dan pengajaran di sebaliknya.

“Lihatlah benda-benda itu dan nikmati keindahannya, kerana ia adalah sebahagian daripada hidup kita yang Tuhan jadikan untuk dinikmati keindahannya. Sayangnya benda-benda yang indah ini selalu kita abaikan. Kita tidak menghargainya.

“Anggaplah bahawa menikmati keindahan benda-benda yang kecil itu sebagai satu kemestian, suatu yang wajib dilakukan, sebab pada bila-bila masa sahaja ia boleh diambil kembali. Dan apabila ia diambil kembali oleh Yang Maha Esa, pada ketika itu barulah kita sedar bahawa segalanya telah berakhir, kita tidak dapat menikmatinya lagi.”

Selepas berkata demikian, guru kami itu terus mengangkat barang-barangnya dan meninggalkan kelas. Kami tahu, guru kami itu masih bersedih dengan kematian suaminya, seminggu lalu.

Selepas menyampaikan pesan itu, guru kami mengangkat begnya dan meninggalkan kelas. Pesan itu saya ingat sampai sekarang.

Kami semua terdiam, kemudian mengangkat beg masing-masing. Hari itu saya melihat begitu banyak benda yang indah di sepanjang jalan pulang ke rumah, jauh lebih banyak daripada apa yang saya lihat sepanjang tahun itu.

Sudah lebih 15 tahun peristiwa ini berlalu, tetapi sehingga kini saya sering teringatkan guru kami itu serta pesanannya kepada kami. Saya cuba untuk menghargai segala keindahan yang Tuhan berikan dalam hidup kita ini yang dahulunya sering saya abaikan.

Cubalah perhatikan sekitar. Di sekeliling kita ini penuh dengan keindahan. Berjalan tanpa kasut. Atau berjalan di tepi pantai ketika matahari terbenam. Atau duduk sendirian pada malam hari sambil memandang ke dada langit yang dihiasi kerlipan bintang.

Mungkin sesekali kita perlu biarkan anak-anak bermain di tengah hujan lebat. Atau kita nikmati secawan aiskrim ketika sedang letih.

Mungkin juga kita perlu hulurkan sebahagian daripada apa yang kita ada untuk si miskin, supaya kita dapat lihat cantiknya senyuman mereka. Atau, curahkan kasih sayang kepada yang melarat, agar dapat kita lihat indahnya makna keikhlasan.

Kerana apabila usia kita meningkat, sebenarnya kita tidak akan kesal kepada perkara-perkara yang telah kita lakukan, tetapi yang akan kita kesalkan ialah perkara-perkara yang tidak kita lakukan.

Kiriman : Pembaca setia Mastika, Kuala Lumpur.