
SEBANYAK 63 kilang dan premis perniagaan diarahkan tutup dalam operasi yang dijalankan oleh agensi penguatkuasaan Kementerian Dalam Negeri (KDN) berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Menyeluruh atau ‘lockdown.’
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, KDN memandang serius tindakan majikan atau kilang yang memberikan maklumat tidak benar untuk memperolehi kebenaran beroperasi dalam tempoh PKP ‘lockdown’ dan mengabaikan pematuhan SOP.

Katanya, bagi memastikan pematuhan SOP oleh pemilik kilang dan premis perniagaan yang dibenarkan beroperasi dalam tempoh PKP ‘lockdown’, agensi penguatkuasaan KDN bersama jabatan yang lain telah memeriksa 48,770 kilang dan premis perniagaan di seluruh negara bermula 14 Jun lepas.
Daripada jumlah tersebut, sejumlah 7,387 kilang dan 41,383 premis perniagaan telah diperiksa. Sebanyak 21 tangkapan dibuat, dan 201 kompaun telah dikeluarkan terhadap kilang atau premis perniagaan yang didapati melanggar SOP.
“Tindakan penguatkuasaan oleh pasukan pematuhan SOP akan terus diperhebatkan bagi memastikan penularan COVID-19 dalam kalangan kluster perkilangan dapat dibendung,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.
BERITA BERKAITAN Polis Johor pergiat operasi kesan kilang tak patuh SOP – Ayob Khan
Beliau berkata, KDN melalui jabatan dan agensi penguatkuasaan di bawahnya seperti PDRM, RELA, APMM, JIM, PENJARA dan JPN telah melaksanakan hampir 95,000 pemeriksaan harian bagi memastikan segala arahan dan SOP yang ditetapkan kerajaan dipatuhi oleh semua pihak.
Dari 1 hingga 17 Jun lepas, sebanyak 14,539 kompaun telah dikeluarkan dan 767 tangkapan telah dibuat oleh pihak PDRM atas pelbagai kesalahan pelanggaran SOP.
Katanya, selain itu, Sekatan Jalan Raya (SJR) masih lagi dikuatkuasakan dengan tegas oleh pihak PDRM di seluruh negara, termasuk penutupan 132 jalan-jalan kecil yang dikenal pasti menjadi laluan alternatif orang awam untuk melanggar larangan rentas negeri dan daerah.
Melalui rekod PDRM, sekitar 11,000 ribu permohonan harian untuk pergerakan rentas negeri dan daerah telah diluluskan hanya bagi kes kematian, kecemasan dan bekerja sendiri, katanya dalam kenyataan akhbar.
Beliau berkata, bagi melindungi petugas barisan hadapan di bawah KDN dan memastikan kekuatan pasukan penguatkuasaan dapat dikekalkan, sehingga 16 Jun 2021, hampir 85% atau 150,934 orang petugas barisan hadapan KDN telah menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19.
Menurut kenyataan itu, 75 peratus atau 133,781 orang daripada petugas barisan hadapan di bawah KDN telah melengkapkan suntikan dos kedua.
KDN juga telah mendapat kelulusan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) untuk pemberian vaksin kepada petugas- petugas kaunter perkhidmatan di KDN dan agensi-agensi di bawah kementerian yang akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut jadual ditetapkan oleh Pasukan Imunisasi COVID-19 (CITF).
Kelulusan yang diterima oleh JKJAV ini bakal memastikan petugas dan pegawai KDN dapat terus melaksanakan tanggungjawab bagi memastikan keselamatan, keamanan dan kesejahteraan rakyat.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram