Pfizer Barang Baik

PROSES vaksinasi COVID-19 terutama di negeri-negeri Pantai Timur akan diselesaikan sebelum menjelang musim tengkujuh iaitu pada bulan Oktober depan.

Menurut Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin, pihaknya akan cuba menyusun semula jadual pengagihan bagi memastikan semua negeri yang terkesan dengan musim tengkujuh dapat disegerakan secepat mungkin.

Kata beliau, ia bagi memberi keselesaan kepada penduduk terutama di Kelantan, Pahang dan Terengganu.

Bagaimanapun, beliau berkata, strategi lain akan diguna pakai dari segi pengagihan pada musim tengkujuh jika proses pemberian vaksin tidak dapat diselesaikan mengikut jadual.

“Kita cuba susun semula jadual pengagihan vaksin COVID-19 mengambil kira negeri yang terkesan dengan musim tengkujuh.

Baca artikel berkaitan: Calon SPM, STPM akan terima vaksin bulan hadapan

221,706 dos diberi semalam, rekod tertinggi PICK

“Harap dapat selesai dalam tempoh itu. Jika tak dapat selesai, kita akan tengok apa strategi lain untuk memberi vaksin sewaktu musim tengkujuh.

“Seperti di Pahang, kita pastikan Pahang dapat sasaran 80 peratus penduduk akan dapat dicapai pada akhir Oktober sebelum tengkujuh. Kita tak mahu waktu banjir kita masih mencari penduduk untuk divaksinasi,” katanya dalam sidang akhbar yang turut dihadiri Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Bertindak PICK Peringkat Negeri Pahang, hari ini.

Sementara itu, Khairy turut meluahkan keyakinan Pahang mampu meningkatkan lagi kadar suntikan harian kepada 30,000 dos sehari daripada purata sebanyak 5,000 dos ketika ini.

Katanya, ia berdasarkan kepada penambahan jumlah dos vaksin yang akan dihantar ke negeri berkenaan.

“Sebenarnya Pahang ada kapasiti melaksanakan 30,000 dos sehari cuma kekangan dihadapi sekarang adalah bekalan vaksin.

“Saya telah maklumkan kepada Wan Rosdy bahawa sebanyak 440,000 dos akan dihantar pada bulan Julai. Pada bulan Jun, kita hantar sebanyak 180,000 dos.

“Ini satu peningkatan sangat besar. Saya yakin penghantaran itu akan digunakan dengan cekap oleh Kerajaan Negeri Pahang dan Jabatan Kesihatan Negeri,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram