SEBANYAK 12 lagi kluster baharu dikesan membabitkan tempat kerja hari ini.

Secara keseluruhan, sebanyak 24 kluster baharu telah dikenal pasti dengan tujuh lagi melibatkan komuniti manakala lima merupakan kluster pusat tahanan.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, kluster tertinggi dilaporkan di Selangor dan Johor iaitu sebanyak lima kluster baharu.

Di Selangor, kesemua kluster baharu melibatkan tempat kerja manakala sebanyak tiga kluster tempat kerja, satu komuniti dan satu pusat tahanan dikesan di Johor.

Kata beliau, empat kluster dilaporkan di Kelantan, tiga di Sarawak, dua di Kedah dan masing-masing satu di Melaka, Kuala Lumpur, Pahang, Negeri Sembilan serta Labuan.

“Sebanyak 593 kes positif COVID-19 telah dikesan daripada keseluruhan 12 kluster baharu tempat kerja hari ini.

Baca artikel berkaitan: 23 kluster baharu, 17 tempat kerja, Selangor tertinggi

74 kematian akibat COVID-19, 13 tiada latar belakang penyakit

“Kluster tempat kerja yang merekodkan kadar jangkitan tertinggi adalah Tapak Bina Perdagangan Dana yang merekodkan 324 kes daripada keseluruhan 482 ujian saringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pengesanan kluster baharu hari ini itu menjadikan jumlah keseluruhan kluster sejak COVID-19 melanda adalah sebanyak 2,604.

Pada masa sama, sebanyak 824 kluster masih aktif manakala 1,780 lagi telah diisytiharkan tamat.

Sementara itu, Dr. Noor Hisham turut menasihati individu-individu yang telah menerima vaksin COVID-19 supaya terus mematuhi saranan serta nasihat-nasihat kesihatan.

Kata beliau, ia termasuk mengelakkan 3S iaitu kawasan sesak, sempat dan sembang pada jarak dekat serta mengamalkan 3W iaitu wash, wear dan warn.

“Patuhlah kepada prosedur operasi standard (SOP) sebagai normal baharu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Orang ramai akan sentiasa dimaklumkan sebarang perkembangan terkini mengenainya. KKM juga akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram