Pekerja perkhidmatan pengebumian mengangkat keranda pesakit Covid-19 untuk di tanam di Tanah Perkuburan (Bukan Islam) Fairy Memorial Park, Klang, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

SEBANYAK 72 lagi kematian dilaporkan angkara jangkitan wabak COVID-19 seluruh negara hari ini.

Ia sekali gus menjadikan kes kumulatif sejak pandemik itu melanda mencecah 4,348 atau 0.63 peratus.

Kes kematian akibat COVID-19 pada hari ini melibatkan 64 warganegara manakala baki lapan lagi bukan rakyat Malaysia.

Jika semalam, sebanyak 13 korban dikesan tidak mempunyai sebarang latar belakang penyakit, namun angka itu menyaksikan peningkatan.

Hari ini, 18 lagi kematian akibat COVID-19 tidak mempunyai latar belakang penyakit.

Ia juga melibatkan kes kematian termuda iaitu seorang wanita berusia 29 tahun yang meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh.

Selain itu, kematian hari ini turut melibatkan seorang warga emas berusia 87 tahun yang tidak mempunyai latar belakang penyakit dan meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak.

Baca artikel berkaitan: 74 kematian akibat COVID-19, 13 tiada latar belakang penyakit

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kematian tertinggi hari ini dilaporkan di Selangor melibatkan 23 kes diikuti 15 kes di Kuala Lumpur dan tujuh lagi di Negeri Sembilan.

Kata beliau, sebanyak enam kes dikesan di Pahang serta masing-masing lima kes di Johor dan Sarawak.

“Tiga kes kematian dilaporkan di Labuan; dua kes di Kelantan dan Pulau Pinang manakala satu di Sabah, Perak, Melaka serta Kedah.

“Korban tertua hari ini melibatkan seorang warga emas berusia 90 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi dan dislipidemia meninggal dunia di Pusat Perubatan Subang Jaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Dr. Noor Hisham kes melibatkan Brought in Dead (BID) juga meningkat kepada 11 hari ini berbanding enam yang dilaporkan semalam.

Sementara itu, beliau memaklumkan, kes yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) menurun sedikit kepada 886 dengan 441 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Berdasarkan kepada penularan baharu yang dilaporkan hari ini, hanya satu dikesan merupakan kes import melibatkan rakyat Malaysia.

Daripada 5,911 kes baharu pula, sebanyak 4,444 adalah warganegara manakala 1,466 lagi bukan rakyat Malaysia sekali gus menjadikan kes aktif adalah sebanyak 64,523 kes.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram