SERAMAI 1.553 juta individu telah pun melengkapkan dua suntikan vaksin COVID-19 setakat semalam sejak Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) bermula akhir Februari lalu.

Walau bagaimanapun, selepas tiga hari berturut-turut pemberian vaksin harian berjaya melepasi angka 200,000 suntikan, jumlah berkenaan turun sedikit semalam.

Sebanyak 180,066 dos telah diberikan semalam berbanding 221,706 – yang juga rekod tertinggi pemberian vaksin kelmarin.

Kadar yang diberikan semalam melibatkan 147,616 suntikan pertama manakala bakinya iaitu 32,450 dos kedua.

Baca artikel berkaitan: 221,706 dos diberi semalam, rekod tertinggi PICK

Setakat 11.59 malam tadi, secara keseluruhannya 5.510 juta dos telah pun diberikan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, seramai 3.958 juta individu pula telah menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19.

Katanya, ia merangkumi sebanyak 12.1 peratus daripada keseluruhan populasi penduduk.

Bagi dos kedua, kata Dr. Adham, pemberian vaksin di Selangor kekal tertinggi apabila telah pun mencecah 202,143 individu yang melengkapkan dua dos suntikan.

Beliau berkata, ia diikuti Sarawak yang merekodkan 174,545 individu; Johor (151,140); Perak (144,986) dan Kuala Lumpur (141,045).

Katanya, Sabah menjadi penerima keenam tertinggi yang telah sempurna dua dos vaksin iaitu sebanyak 127,838 seterusnya Kedah (102,246); Pahang (98,599); dan Pulau Pinang (85,981).

“Di Kelantan pula sebanyak 80,319 dos kedua pemberian vaksin telah diagihkan diikuti 71,444 di Negeri Sembilan; 68,128 di Terengganu dan 44,427 di Melaka.

“Sebanyak 27,614 dos kedua vaksin telah diberi di Perlis dan masing-masing sebanyak 20,073 dan 13,405 di Putrajaya serta Labuan,” katanya menerusi infografik yang dimuat naik ke akaun Twitter miliknya hari ini.

Mengulas lanjut, Dr. Adham berkata, Kuala Lumpur menjadi negeri penerima dos pertama vaksin COVID-19 tertinggi iaitu seramai 672,759 individu.

Katanya, ia sekali gus menjadikan Kuala Lumpur sebagai penerima tertinggi keseluruhan setakat ini iaitu sebanyak 813,804 bagi dos pertama dan kedua.

Beliau memaklumkan ia diikuti seramai 607,142 di Selangor; 531,482 di Sarawak; 361,166 di Johor dan 266,505 di Perak bagi dos pertama vaksin telah diberi.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram