Seorang lelaki kaya meninggal dunia, meninggalkan dua anak lelaki. Selesai pengebumian ayah mereka, si abang memutuskan untuk tinggal berasingan dengan si adik, membawa haluan hidup masing-masing.

Mereka membahagikan harta peninggalan si ayah sama rata. Si adik hanya menurut. Sebelum berpisah, kebetulan si abang menemui satu kotak kecil di atas para dapur.

Apabila kotak itu dibuka, terdapat dua bentuk cincin di dalamnya. Satu adalah cincin yang dibuat emas bertatahkan berlian. Manakala satu lagi hanyalah cincin tembaga yang tiada nilai.

“Oleh kerana aku anak sulung, aku akan ambil cincin emas ini,” kata si abang.

Si adik hanya mengangguk setuju. Dia tidak mahu bertengkar hanya kerana dua bentuk cincin itu. Tidak kisahlah walaupun dia sekadar mendapat cincin tembaga. Cuma, dalam hatinya dia tertanya-tanya, mengapa si ayah menyimpan cincin tembaga yang tiada nilai itu.

Setelah mengambil bahagian masing-masing, kedua beradik itu berpisah. Si abang bangga memakai cincin emas bertatah berlian dijarinya. Megah kerana cincin itu mahal.

Si adik pula tetap menyarung cincin tembaga di jarinya, sebagai tanda mengingati ayah mereka. Sewaktu mengamati cincin buruk tersebut, si adik perasan ada satu kalimat kecil terukir di sebalik cincin itu. Kalimat itu berbunyi ‘IA AKAN BERLALU’.

Dia tertanya-tanya apa maksud di sebalik kalimat itu. “Mungkin ini pesanan dari ayah,” ujarnya dalam hati.

Masa berlalu. Kedua beradik itu melalui onak duri kehidupan. Perniagaan si abang maju, banyak keuntungan. Ia membuat si abang hidup berfoya-foya, leka dengan keasyikan duniawi. Sehinggalah akhirnya perniagaannya merudum, wang simpanan segalanya habis.

Ketika itu, si abang mula dilanda tekanan. Hutang keliling pinggang dan pelbagai masalah membuatkan si abang mula jatuh sakit, gagal mengawal emosi, mula bergantung pada ubat-ubatan. Akhirnya, dia terpaksa menjual cincin emas berlian peninggalan arwah ayahnya untuk menampung kehidupannya yang kian sukar.

Berbeza dengan si adik. Apabila perniagaannya menguntungkan, ia teringat kalimat pada cincin tembaga di jarinya. ‘IA AKAN BERLALU…’ Peringatan itu membuat dia tidak lalai, jauh sekali menghabiskan wang untuk berjoli sakan. Kerana dia percaya, kesenangan itu dengan mudah akan berlalu pergi.

Begitu juga ketika dia dilanda kemurungan dan kesedihan apabila ditimpa sesuatu bencana atau masalah, dia teringat pada kalimat di cincin itu. ‘IA AKAN BERLALU…’ Si adik sentiasa sabar, tidak mudah mengalah atau tertekan dengan dugaan yang datang kerana yakin, kesukaran yang dihadapi pasti akan berlalu juga.

Kalimat pada cincin tembaga yang tiada nilai itu menjadi pegangan hidup si adik. Turun naik kehidupannya sama ada di kala senang mahupun susah, sewaktu berjaya atau gagal, semuanya mampu ditangani dengan seimbang, menjadikan hidupnya sentiasa bahagia.

Dia yakin, segala yang datang itu tidak kira senang atau susah, suatu hari nanti pasti akan berlalu juga. Itulah rahsia pesanan yang ditinggalkan si ayah melalui sebentuk cincin tembaga.

Pembaca sekalian, naskhah hidup manusia banyak seperti perumpamaan kisah di atas. Kita sering terlupa apabila berada di puncak kesenangan. Terlupa bahawa perkara yang indah atau kelekaan dunia itu akhirnya akan berlalu pergi.

______________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram