Bintang-bintang Perancis gagal menewaskan Hungary yang berada di ranking ke-37 dunia dalam aksi menarik malam tadi./ Gambar media sosial.

Oleh: Syed Saggaf

SEBELUM bermulanya perlawanan Perancis bertemu Hungary malam tadi, persoalan yang bermain di minda ramai peminat bola sepak adalah berapa banyak gol yang akan dihasilkan oleh Kylian Mpabbe, Karim Benzema dan juga Antoinne Griezman.

Manakan tidak, juara Piala Dunia 2018 itu tampil sebagai pasukan pilihan bukan sahaja untuk perlawanan malam tadi, tapi sebagai salah satu pasukan pilihan untuk menjadi juara kejohanan Euro tahun ini. 

Tambahan pula, pasukan Hungary berkedudukan di ranking ke-37 dunia berbanding Perancis yang menduduki tangga kedua pada masa ini.

Namun, Hungary telah mencipta kejutan setelah berjaya merantai Perancis dengan keputusan seri.

Lebih memberangsangkan, Hungary telah berjaya menjaringkan gol pertama perlawanan pada separuh masa pertama sebelum Griezman menyamakan kedudukan di separuh masa kedua.

Pemain Hungary meraikan gol ketika mengejutkan Perancis dalam aksi kedua malam tadi di Budapest.

Jadi, apa yang menjadi faktor menyebabkan Hungary berjaya mencapai kejayaan ini?

Jika kita tonton perlawanan semalam dan kaji statistik akhir, terdapat beberapa nombor yang menarik perhatian. Nombor paling menarik semalam adalah jumlah larian keseluruhan yang dibuat oleh pemain Hungary.

Mereka telah berlari sejauh 106.54 km berbanding dengan Perancis yang membuat hanya 99.45 km. Akan tetapi, Perancis menguasai 61 peratus kawalan bola dan membuat 599 hantaran berbanding dengan hanya 280 hantaran daripada Hungary.

Kita boleh rumuskan bahawa bagi mengatasi kehebatan Perancis, pasukan Hungary perlu bekerja lebih keras daripada biasa dan perlu lebih banyak berlari tanpa bola bagi menutup ruang pemain-pemain Perancis.

Satu lagi statistik yang mencuri perhatian saya adalah jumlah serangan dan cubaan ke arah pintu gol. Perancis telah melancarkan 68 serangan sepanjang perlawanan semalam dengan menghasilkan 15 cubaan ke arah pintu gol Hungary.

Baca artikel berkaitan: Di Sebalik Euro 2020: Ronaldo dikejar rekod

Apa yang menarik juga adalah sentuhan pemain pasukan Hungary di dalam kotak penalti Perancis. Sepanjang perlawanan, Hungary hanya menyentuh bola sebanyak empat kali sahaja di dalam kotak penalti Perancis!

Sentuhan penyudah Fiola mendapat pujian ramai kerana tenang menewaskan Hugo Lloris dalam aksi di Puskas Arena, Budapest malam tadi./ Gambar FB Euro 2020

Salah satu daripadanya menghasilkan gol apabila Attila Fiola menjaringkan gol pada minit minit terakhir separuh masa pertama. Daripada semua sentuhan ini, salah satunya juga adalah hadangan secara tidak sengaja pemain Hungary terhadap cubaan ke arah gol oleh penyerang mereka sendiri!

Berbanding dengan Piala Dunia, kebarangkalian pasukan “underdog” membuat kejutan di dalam kejohanan Euro adalah lebih tinggi.

Sejarah telah membuktikan terdapat beberapa pasukan seperti ini, bukan sahaja menewaskan pasukan gergasi namun berjaya sehingga menjadi juara.

Denmark pernah melakukannya pada 1992, menjadi juara walaupun dijemput menyertai kejohanan setelah Yugoslavia disingkirkan dari menyertai kejohanan ini.

Mereka menumpaskan pasukan pilihan kejohanan iaitu Jerman di perlawanan akhir. Selain itu, satu lagi kejutan berlaku pada 2004 setelah pasukan Greece menjulang kejuaraan setelah menumpaskan tuan rumah kejohanan dan pasukan pilihan, Portugal.

Kerja keras pemain Hungary dan sokongan padu penonton mengatasi kekurangan mereka dalam berdepan bintang-bintang Perancis./ Gambar media sosial.

Tidak kira bidang apa sekalipun, kerja keras adalah syarat untuk berjaya. Kekurangan kita hanya boleh diatasi sekiranya kita sentiasa berusaha untuk memperbaiki diri.

Tidak dapat dinafikan bahawa kadangkala tuah juga ada memainkan peranan di dalam kejayaan. Akan tetapi, semakin keras kita berusaha, kita sepatutnya semakin bertuah dan bersedia bila peluang dapat menjemput kita.

Jadi kepada semua underdog di luar sana, sentiasa bersedia untuk mengambil peluang bila ia terhidang.

Penulis ialah ketua pegawai eksekutif syarikat minyak dan gas yang meminati sukan bola sepak.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram