MacBook Air
Siti Masyitah bersama MacBook Air sebagai tanda dilamar.

MENJADI satu kebiasaan apabila si lelaki ingin melamar gadis pilihannya ia akan diiringi sebentuk cincin sebagai tanda menyampaikan hasrat yang terbuku di dalam hati.

Namun, berlainan kisah yang dialami gadis dari Nilai, Negeri Sembilan ini apabila menerima lamaran berupa sebuah MacBook Air bersama sekeping nota “Siti Masyitah, will you marry me?”

Siti Masyitah Shabri, 22, mengatakan dia amat gembira dengan kejutan yang diterima dan langsung tidak menyangka akan dilamar sedemikian rupa.

“Pagi semalam, tiba-tiba ibu panggil saya turun ke bawah untuk membantu menyediakan sarapan dan sampai ke ke dapur saya lihat ada satu kotak di atas meja makan.

“Saya membuka kotak tersebut setelah disuruh oleh ibu dan terkejut dengan nota lamaran tersebut,” katanya ketika menceritakan kembali detik manis itu kepada UtusanTV.

Menurut Masyitah, dia langsung tidak sangka dengan kejutan itu kerana sudah lama tidak bersua dengan kekasihnya dek kerana sekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

“Siapa yang tak terkejut bila bukak nota lamaran dan sebuah MacBook Air. Rupa-rupanya Nuqhman (teman lelaki) telah bersepakat dengan ibu saya untuk membuat kejutan tersebut,” tambahnya.

Nota lamaran yang diterima Siti Masyitah bersama-sama MacBook Air

Baca artikel berkaitan: Bermula dengan 3 biji kubis, kini jadi tauke kimchi tersohor

Gembira dengan kejutan itu, Siti Masyitah memuat naik gambar hadiah serta nota tersebut di laman Twitter untuk dikongsikan kepada rakan-rakannya.

Namun, tanpa disangka ciapannya itu mendapat perhatian ramai warga maya apabila mendapat 4,788 ulang kicau dan lebih 15 ribu tanda suka.

Rata-rata pengguna Twitter memberikan reaksi yang positif dengan mendoakan kebahagiaan mereka dan tidak kurang juga yang menginginkan perkara yang sama berlaku kepada diri mereka.

“Proposal another level! Orang bagi cincin, dia bagi MacBook! I don’t know you but CONGRATSSS!” tulis pengguna, @safirahsharom di ruangan komen.

“If someone don’t propose me like this in the future, I don’t want him,” gurau seorang lagi pengguna, @sftdejun.

Melihat kepada reaksi yang diterima, gadis yang kini menjalani latihan industri ini turut menasihati mereka di luar sana untuk tidak menjadikan ciapannya itu sebagai satu ukuran terhadap pasangan mereka.

“Sememangnya apa yang dilakukan oleh Nuqhman itu merupakan satu perkara yang manis serta diidamkan oleh orang ramai di luar sana, tapi jangan pula jadikan benda tu sebagai kayu ukur. Kesian pula dekat pasangan kita kalau mereka rasa tertekan untuk capai expectation itu. Tak semestinya dia tak bagi hadiah yang grand, dia tak sayang kita.

“Mungkin tak dapat sekarang, siapa tahu lepas kahwin nanti pasangan korang boleh bagi lebih lagi dengan rezeki yang lebih luas,” ujarnya.

Dalam pada itu bakal suami Siti Masyitah, Nuqhman Naiemi, 22, mengatakan sememangnya kejutan hadiah tersebut adalah sebagai satu lamaran rasmi kepada Masyitah di samping untuk mengubati dukanya setelah perancangan untuk melangsungkan perkahwinan mereka terpaksa ditangguh beberapa kali disebabkan PKP.

Ketika ditanya oleh UtusanTV kenapa Nuqhman memilih MacBook Air sebagai hadiah lamaran, Nuqhman menyatakan bahawa komputer riba keluaran tersebut sangat diminati olehnya.

Pasangan ini berkata, mereka akan melangsungkan perkahwinan secepat mungkin selepas keadaan pandemik yang melanda negara ketika ini pulih.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram