kolagen

Sesi soalan jawab bersama Da’i Hamidah Ab Razak, Juara Program Da’i 2015. Ijazah Sarjana Muda Pengajian Akidah & Agama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Soalan :

Dewasa ini, ramai wanita yang terlalu obses untuk tampil lebih cantik. Seperti contoh, dari kulit gelap ramai yang melakukan rawatan memutihkan dan menganjalkan kulit wajah. Tak kurang juga membuat suntikan kecantikan di wajah untuk tampil lebih muda. Soalannya, apakah hukum seseorang wanita itu menggunakan suntikan Vitamin C dan kolagen untuk tujuan kecantikan?

Jawapan :

Saya tidak tahu di mana dalil haramnya selagi ia tidak membawa mudarat. Lebih baik, rujuk dahulu ahli perubatan dari segi manfaat dan mudaratnya mana lebih banyak. Sekadar yang saya tahu, melalui perkongsian ilmu dari doktor perubatan, Vitamin C mengandungi sangat banyak manfaatnya.

Ia bertindak sebagai antikanser, anti inflamation, antivirus, antibakteria, antifungus, mempertingkatkan imuniti, menyahtoksin dan lain-lain keistimewaan termasuk membantu mencegah sakit koronari jantung.

Tidak ada istilah cucuk kolagen dalam ilmu perubatan kulit, ia hanya gimik bagi tujuan perniagaan. Tetapi Vitamin C diakui untuk induced collagen production, Insya-Allah.

Bercakap tentang tujuan ‘memutihkan’ kulit, itu bukanlah satu matlamat perubatan. Tetapi Vitamin C ada kesan untuk mengurangkan pigmentasi, kegelapan kulit, melembapkan kulit dan yang paling penting untuk membantu membina kolagen kulit baharu. Insya-Allah.

Oleh itu sekiranya tidak ada kemudaratan, ia dibolehkan. Seperti kaedah Al aslu fil asya’ al ibadah. Asal sesuatu itu dibolehkan selain ada dalil yang mengharamkan.