TAMPIL dengan single terbaharu yang berkonsepkan K-Pop, penyanyi Meer Nash mengaku sudah bersedia untuk berhadapan dengan kecaman.

Menurut Meer atau nama penuhnya Shahmeer Mohd. Nashrul,26, dia sengaja memilih muzik K-Pop untuk buah tangan terbaharunya yang berjudul Saranghae bagi menampilkan sisi kelainan dalam muzik yang dibawa.

“Saranghae adalah hasil karya saya sendiri. Sebelum ini saya pernah tulis beberapa lagu, tapi saya berasakan masih belum cukup bagus lagi untuk diketengahkan.

“Namun, apabila saya menulis lagu ini saya suka dan ia boleh dikomersialkan. Alasan kenapa nak masukkan elemen dan frasa Korea kerana sejak saya mentertai I Can See Your Voice Malaysia (ICSYVMY) orang mula panggil saya Oppa Malay.

“Jadi saya nak gunakan identiti yang diberikan itu walaupun saya tahu akan dihentam atau dikutuk oleh peminat K-Pop.

“Lagipun sebelum ini saya sudah pernah dikutuk muka macam tapak kaki anggota BTS iaitu Jimin. Lebih teruk lagi, ada yang tunjuk jari tengah (middle finger) kepada saya,” luahnya kepada URTV.

Meer berkongsi perkara itu ketika majlis pelancaran Saranghae yang diadakan secara maya baru-baru ini.

Mengulas lanjut mengenai pembikinan muzik video Saranghae, Meer akui berdepan kesukaran kerana tidak pandai menari.

“Saya bukan penari profesional, tapi perkara ini yang buatkan saya nak buat dan belajar. Apabila menyertai pertandingan Chinese Bridge ke-16 di Changsha, China pada 2017, di sana ada yang boleh ajar menari dengan cepat. Saya pula jenis yang cepat ‘tangkap’.

“Cuma selepas balik ke Malaysia, saya tak menari dah. Saya sudah lupa semua. Tapi apabila masuk kelas menari yang disediakan oleh pihak Universal Music, awal-awal saya sangat letakkan usaha untuk ingat langkah.

“Dari situ boleh majukan diri dan tak nampak janggal. Saya akui memang susah tapi lama kelamaan semuanya okay dan dipermudahkan,” ujarnya.

Meer berharap initiatifnya untuk keluar dari zon selesa dengan mempertaruhkan Saranghae dapat diterima baik pengikut muzik tempatan.