Semalam kita menyambut Hari Bapa. Tidak terlambat lagi rasanya untuk Mastika hidangkan sebuah lagi kisah mengenai seorang bapa, atau dipanggil juga ayah dan abah.

Tetapi kisah ini berlainan. Tentang kesilapan seorang bapa dan kasih sayang isteri serta anak. Semoga memberi pengajaran…

———–    

KESIAN SAYA LIHAT EMAK, hari ini senyumannya tidak lagi seperti selalu. Tawar. Pipi kanan emak lebam. Memang ketika itu saya terlalu mentah untuk kenal erti kasih sayang. Namun sebagai anak yang tak pernah renggang dengan emak, saya mengerti bila waktu dia gembira dan bila pula waktu berduka.

Dulu saya lihat emak sering tersenyum, wajah berseri-seri. Kami bergurau senda, cukup mesra walaupun kehidupan kami sekadar cukup makan.

Ketika itu ayah hanya membuat kerja-kerja kampung atau mengambil upah membuat rumah. Untuk meringankan beban yang ditanggung ayah, emak menjual nasi lemak dan kuih-muih. Dengan sedikit hasil jualan itulah saya dan Abang Long dapat meneruskan persekolahan.

Bagaimanapun kemudian semuanya berubah. Ayah mula ringan tangan. Lebam-lebam wajah emak dipukulnya. Namun emak sembunyikan daripada pengetahuan saya dan Abang Long.

Kenapa ayah berubah?

Saya masih ingat suatu petang, ayah pulang dalam keadaan marah-marah. Suara ayah memekik bagaikan halilintar. Semasa saya kecil, tidak pernah dengar suara ayah begitu. Ayah lembut, tapi kenapa sekarang jadi panas baran?

Kami hairan, kenapa ayah yang dulunya penyayang tiba-tiba berubah jadi panas baran.

Ayah maki hamun dan menampar muka emak. Saya hanya mampu menitiskan air mata manakala Abang Long lari entah ke mana kerana tidak tahan melihat emak dibelasah.

Memang ayah banyak berubah sejak bekerja sebagai jaga di sebuah ladang kelapa sawit. Ayah jarang balik ke rumah dan bersikap dingin ke atas emak.

Suatu malam ayah menyuruh saya dan Abang Long berhenti sekolah. Alasannya, yuran sekolah makin mahal dan ayah tak mampu menanggung perbelanjaan kami.

Biarpun selama ini emaklah yang banyak menjelaskan segala yuran sekolah namun ayah tetap mahu saya dan Abang Long berhenti.

“Tak guna hantar budak-budak tu sekolah. Esok lusa kalau dah senang bukan ingat orang tua!” demikianlah kata-kata ayah malam itu. Saya menangis mendengarnya.

Saya tahu, emak menyimpan harapan yang tinggi pada kami berdua.

“Tak apalah mak, biar adik berhenti. Ada duit nanti adik sambunglah belajar,” pujuk saya tatkala melihat emak bersedih dengan keputusan ayah itu.

Sejak itu hari-hari saya habiskan waktu menyiapkan kerja-kerja rumah dan membantu emak menjual nasi lemak. Abang Long pula tolong jiran kami menoreh, ambil upah menebas dan sebagainya. 

Ayah? Dia semakin teruk. Langsung tidak ambil kisah soal makan minum kami. Suatu petang, setelah dua minggu menghilang, ayah pulang menunggang sebuah motosikal baru. Emak terkejut, begitu juga saya dan Abang Long. Rupa-rupanya ayah rela kami tidak bersekolah semata-mata mahu  mengumpul duit untuk beli motosikal baru.

Petang itu juga sekali lagi tercetus pergaduhan di antara emak dan ayah. Kali ini bibir emak pecah dan berdarah.

Dari jiran sekampung emak mendapat tahu ayah berubah sejak bergaul dengan pengurusan ladang kelapa sawit tempatnya bekerja. Ayah berjudi. Sembahyang pun ditinggalkan.

Pun begitu, walaupun saya masih belasan tahun ketika itu, Abang Long pula tua cuma dua tahun daripada saya, tidak pernah langsung kami dengar emak menyalahkan ayah.

Pernah Abang Long menasihati emak agar melaporkan perbuatan ayah itu kepada ketua kampung. Emak bukan sahaja tidak bersetuju malah menasihati kami agar melayan ayah dengan baik.

“Tak baik lawan ayah. Mak tak mahu anak-anak mak jadi anak derhaka,” kata emak.  

Suatu malam saya dengar deruman motosikal ayah di laman rumah. Emak mengarahkan saya dan Abang Long masuk ke bilik. Dari dalam kamar saya dengar ayah menjerit-jerit meminta wang daripada emak. Tidak sabar dengan tindakan ayah, Abang Long yang selama ini hanya mendiamkan diri cuba membantu emak daripada terus dipukul.

Kami lihat ayah pukul emak dan ambil wang simpanannya.

Malam itu emak pengsan selepas beberapa kali ayah menghentak kepalanya ke dinding. Abang Long hanya menangis sambil memeluk erat tubuh emak. Kemudian ayah tinggalkan kami setelah mengambil semua duit hasil jualan nasi lemak yang disimpan emak.

Pipi emak lebam. Kepala benjol di sana sini. Buku lali kaki kiri emak bengkak.  Namun emak tetap emak. Tidak pernah sekalipun saya dengar emak merungut tentang ayah walaupun dia dipukul dan ditinggalkan.  

“Ayah sibuk tu,” rupanya sayang emak pada ayah tidak pernah susut.

Entah apa yang emak hendak buktikan, saya sendiri tidak tahu. Dalam setiap doa yang emak lafazkan, nama ayah sentiasa meniti di bibirnya.

Terlalu lama emak terseksa. Hinggalah suatu hari emak jatuh sakit. Tidur bangun emak terpaksa saya yang uruskan. Makan emak pun saya suapkan.

Ayah? Emm… saya sendiri tidak tahu di mana dia berada. Sudah berminggu-minggu ayah tak pulang.

Genap seminggu terlantar, dinihari itu emak menghembuskan nafas terakhir. Lebam pada dahinya belum pun sempat hilang, emak telah pergi meninggalkan saya dan Abang Long buat selama-lamanya.

Saya menangis semahu-mahunya meratapi pemergian insan mulia yang paling saya sayangi. Ketika urusan pengebumian emak dilakukan, tiada kekesalan pada wajah ayah. Malah tiada setitis pun air mata tumpah di pipinya. Tambah sedih saya apabila mengetahui, ketika menerima khabar itu, ayah berada di gelanggang judi.

Saya hilang segala-galanya. Bertahun-tahun emak menderita sehingga akhir hayat, namun ayah masih belum berubah. 

Gambar sekadar hiasan: Emak meninggal dunia selepas seminggu dipukul oleh ayah.

SETAHUN SELEPAS PEMERGIAN EMAK, saya dilamar Zainal, seorang pemuda kampung. Kami berpindah ke Kuala Lumpur selepas mendirikan rumah tangga. Abang Long pula membawa diri dengan bekerja di sebuah kilang di Seremban.

Ayah? Dia tetap begitu. Malah ayah memang suka kalau kami pergi jauh-jauh dari hidupnya.   

Dua tahun di Kuala Lumpur, dengan izin suami, suatu hari saya pulang ke kampung. Sebaik sampai di halaman rumah, saya tergamam melihat segala-galanya telah berubah. Salam tidak berjawab dan keadaan rumah tidak ubah seperti sudah berpuluh tahun ditinggalkan.

Saya ke rumah jiran kami, Mak Esah, bertanya kalau-kalau dia tahu di mana ayah. Wanita tua itu terkejut melihat saya, lantas menceritakan semuanya dengan linangan air mata.

“Ayah kamu dah lama temankan mak kamu,” jawab Mak Esah sebak.

Saya terkejut… air mata terus berhamburan. “Kenapa tak beritahu saya?” saya meratap. 

Rupa-rupanya sangkaan saya salah. Ayah masih hidup. Maksud Mak Esah, ayah sedang menemani emak di pusara.  Mak Esah iringi saya ke perkuburan yang letaknya di hujung kampung. Sambil melangkah Mak Esah menceritakan segala yang berlaku.

Lidah saya kelu. Andai benar apa yang Mak Esah katakan kenapa sampai begitu sekali ayah menghukum dirinya?

Suasana sunyi sepi di kawasan perkuburan membuatkan jantung saya berdegup kencang. Nun di hujung sana seorang lelaki tua sedang tidur lena di atas papan yang disusun atas binaan-binaan kubur sebelah kubur emak.

Gambar hiasan: “Walaupun sering dipukul dan dimaki hamun, arwah emak tidak pernah sekali pun menyalah atau memburukkan ayah.”

“Itu ayah kamu,” kata Mak Esah.

Air mata saya bagaikan hujan. Tubuh saya menggeletar, saya terjelepok di sisi ayah.

“Ayah… ayahhhh…” ucap saya perlahan-lahan antara dengar dan tidak. Lena sangat tidur ayah sehingga tidak menyedari saya berada di sisinya. Perlahan-lahan saya sentuh bahu ayah.

Mata ayah terkebil-kebil memandang saya. Mulutnya terkumat-kamit cuba menyatakan sesuatu yang saya sendiri tidak faham.  

Saya capai jari-jemari ayah lalu bertanya; “Kenapa ayah tidur di sini?” Saya terus menggenggam erat jari-jemari kasar dan berkematu itu.

“A… aa… aaayaahhhhh… rindukan mak kamu,” terketar-ketar suara ayah.  

Saya tatap wajah ayah yang cengkung tidak bermaya. Ketika itu saya berasa cukup berdosa meninggalkan ayah di kampung. Saya terus merangkul tubuh ayah. “Apa yang berlaku, takkan sampai begini ayah menghukum dirinya,” perasaan saya berperang.

Menurut Mak Esah, tidak lama selepas pemergian emak, ayah mengalami kecederaan yang teruk selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya. Tulang rusuk ayah patah, begitu juga dengan kaki dan tangannya.

Lima bulan ayah terlantar di hospital. Tiada seorang pun teman ayah datang menjenguk. Mak Esah pula gagal menghubungi saya dan Abang Long. Di rumah, ayah terlantar sendirian. Kencing, berak, makan, minum dan tidur ayah tiada siapa peduli.

Mungkin ketika itulah kenangan bersama emak dan anak-anak bermain di ruang fikirannya. Mungkin sedikit demi sedikit kenangan itu datang meruntun hati dan perasaan ayah yang selama ini mengabaikan tanggungjawabnya. 

“Ayah kamu benar-benar insaf dengan apa yang telah dia lakukan ke atas arwah mak kamu. Sebab itu dia ambil keputusan untuk temankan emak kamu di sini,” cerita Mak Esah.

Puas saya pujuk ayah untuk pulang ke rumah. Namun ayah tetap ingin menemani emak di pusara. Kata ayah, kalau dulu ayah tinggalkan emak, kali ini biar ayah setia di sisinya. Barulah kali ini saya lihat air mata ayah menitis.

“Ayah… emak tak pernah salahkan ayah. Sebelum meninggal, emak bisikkan pada Ila, emak maafkan ayah,” kata saya menyampaikan pesanan terakhir emak.

Saya pandang wajah ayah. Dari sinar matanya terpancar sedikit kegembiraan yang telah lama hilang. Bibir ayah mengukir senyuman.

Gambar sekadar hiasan : “Ayah hukum dirinya begitu kerana terlalu rindukan arwah emak.”

SEMINGGU SELEPAS ITU, saya mengambil keputusan pulang semula ke kampung untuk menjaga ayah. Di sebuah pondok kecil di pinggir pusara, ayah masih setia menemani emak siang dan malam. Dia senang di  situ, beramal sendirian. Makan minumnya saya hantarkan setiap hari.

Usia ayah sudah 89 tahun, sudah tua benar. Tetapi apabila saya mengajak ayah pulang, ayah tetap enggan.

Ayah akan menjawab, “Ayah nak tebus dosa ayah. Dan kalau ayah pergi, semadikanlah jasad ayah di sisi pusara emak kamu.”  

Pencerita: Jamaliah, Negeri Sembilan.

—————–

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv
Twitter: https://twitter.com/UtusanTV
Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislam