BILL Havens termenung, tangannya meraup muka beberapa kali. Sekejap dia bangun, kemudian mundar-mandir di pelantar kapal.

Dia kelihatan cukup resah. Tidak dihiraukannya kawan-kawan yang sedang minum dan berbual-bual mengenai Sukan Olimpik 1924 yang akan berlangsung di Paris, Perancis dua minggu lagi.  

Hatinya berbelah-bahagi antara Olimpik dan isteri yang sedang menunggu saat bersalin.  

Hajatnya memang besar untuk memenangi pingat emas dalam acara yang disertainya – kenu berpasukan. Jika terlepas peluang ini, dia perlu menunggu empat tahun lagi. Dia terfikir juga, bagaimana jika isterinya bersalin semasa dia berada di Paris?

Tapi jika pergi pun, tidak mungkin dia dapat menumpukan perhatian kerana asyik teringatkan isteri.

Ketika itu hanya wajah isteri yang sedang sarat mengandungkan anak sulungnya menerjah fikiran. Hatinya begitu berat untuk meninggalkan isteri melahirkan anak berseorangan tanpa dia di sisi.

“Tidak! Aku tidak boleh tinggalkan isteriku sendirian. Aku mahu berada di sisinya, aku mahu berkongsi susah senang bersama dia,” Bill membuat keputusan.

Keputusan itu tidak dipersetujui oleh jurulatih pasukan. Dia bertanya, bagaimana kalau isteri Bill bersalin selepas mereka pulang dari Paris? Bukankah ia merugikan Bill?

“Janganlah bimbang sangat, tugas kita sekarang adalah untuk membawa pulang pingat emas untuk rakyat Amerika,” kata jurulatihnya bersungguh-sungguh.

Namun Bill sudah tetapkan keputusannya. “Tidak! Saya takkan pergi. Perjalanan pergi balik ini saja memakan masa yang cukup lama.”  

Bill terus bangun, mencapai beg dan melangkah menuruni anak-anak tangga meninggalkan kapal yang sudah sedia untuk berlayar ke Paris.

Bill Havens

KEPULANGAN BILL amat mengejutkan isterinya. Dia bertanya, tidakkah Bill rasa bersalah kerana meninggalkan pasukannya. Dan, tidakkah dia akan menyesal jika pasukan AS memenangi emas?

“Tidak. Aku tidak boleh meninggalkan kau. Aku mahu bersama-sama menyambut kelahiran anak kita,” jawab Bill. 

Tambah Bill, dia sudah melupakan pingat emas Olimpik. Apa yang ada di fikirannya ketika itu hanya isteri dan anak yang bakal lahir. Kedua-dua mereka lebih penting daripada pingat emas.

DUA MINGGU KEMUDIAN,  Sukan Olimpik bermula. Tanpa kehadiran Bill, pasukan kenu AS memenangi pingat emas.

Semasa kontinjen AS itu pulang ke tanah air, Bill turut berada di pelabuhan mengucapkan tahniah pada rakan-rakannya kerana ketika itu isterinya masih belum bersalin. Kawan-kawan Bill memerli dan mentertawakannya.

Ada yang mengatakan, kalau Bill tidak tinggalkan kapal, tentu saja hari ini dia pulang dengan pingat emas untuk isteri dan anak sulungnya itu.

Apa jawab Bill?

“Tidak! Aku tidak menyesal, walaupun tidak dapat pingat emas. Anak dan isteri adalah hadiah yang paling berharga dalam hidup aku. Aku yakin, apa yang aku lakukan adalah betul,” kata Bill.

Tidak berapa lama kemudian isteri Bill melahirkan seorang bayi lelaki. Mereka namakannya Frank Havens.

Frank Havens

DUA PULUH LAPAN TAHUN kemudian  – 1952  –  ketika Bill dan isterinya sedang berehat di rumah, seorang posmen datang menyampaikan sepucuk telegram.

Ia dikirim oleh anak lelaki mereka, Frank, yang ketika itu berada di Helsinki, Finland, mewakili AS dalam Sukan Olimpik untuk acara yang sama – kenu berpasukan.

“Ayah, ibu… saya menang! Pingat emas ini untuk ayah sebagai menebus kehilangannya semasa ayah menanti kelahiran saya dulu.”

Bill dan isterinya menangis dan berpelukan.

Kata Bill, “Aku tidak kesal dengan keputusan yang aku buat dulu. Kini emas itu jadi milik aku juga.”

—-

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di www.utusantv.com atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita