Seramai 11 lelaki direman selama empat hari susulan tular rakaman video mengiringi perarakan mayat di Butterworth semalam./ Gambar media sosial

DALAM tempoh sekatan penuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ini, urusan kematian pun dihadkan jumlah kehadiran seperti mana prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Tak kira agama dan siapa pun, bilangan yang terlibat dihadkan bagi mengekang penularan COVID-19.

Namun, semalam tular video memaparkan sekumpulan individu berarak dan sebahagiannya dilihat menari, bermain gendang dan membawa sepanduk ketika mengiringi keranda di Seberang Perai.

Sehubungan itu, polis telah membuka kertas siasatan dan hasilnya kesemua lelaki yang terlibat berjaya ditahan di sekitar Butterworth dalam tempoh tidak sampai 24 jam.

Hari ini, 11 lelaki yang didakwa melanggar SOP dengan berarak mengiringi mayat di Jalan Siram, hingga tular di media sosial direman selama empat hari bagi membantu siasatan.

Perintah reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Butterworth, Nigel Jirin.

Kesemua 11 lelaki itu yang berusia antara 15 hingga 35 tahun direman hingga Khamis ini bagi membolehkan polis menjalankan siasatan.

Turut disiasat penglibatan individu berkenaan dalam mana-mana kumpulan atau pertubuhan.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1969, Seksyen 269 Kanun Keseksaan serta Peraturan 9 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia Malaysia 1988.

Baca artikel: Perarakan pengebumian kongsi gelap, jangan buat Malaysia tak ada undang-undang

Harian Metro melaporkan, terdahulu, semua suspek yang berpakaian lokap dibawa ke Mahkamah Butterworth kira-kira jam 9 pagi oleh polis.

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara semalam membuka kertas siasatan berhubung insiden berkenaan selepas menerima laporan mengenai video tular perarakan kematian di beberapa platform media sosial.

Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7), IPD Seberang Perai Utara serta Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) negeri dan Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) daerah itu kemudian menjalankan gerakan mengesan individu dalam rakaman video berkenaan.

Susulan itu, seramai 11 orang ditahan dalam operasi selama empat jam sekitar Butterworth dan Mak Mandin.

Video berdurasi 56 saat yang tular itu memaparkan sekumpulan individu berarak dan sebahagiannya dilihat menari, bermain gendang dan membawa sepanduk ketika mengiringi keranda.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram