SEBELUM ini tular video seorang wanita bertudung merah jambu yang menengking anggota polis di sebuah Sekatan Jalan Raya (SJR) di Kota Kinabalu.

Rupa-rupanya, siasatan awal mendapati insiden itu berpunca kerana anggota polis bertugas mengenakan saman akibat cukai jalan dan insurans kenderaan miliknya yang tamat tempoh sejak Januari lepas

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, susulan itu wanita berkenaan ditahan pagi semalam bagi siasatan lanjut.

Usahawan kosmetik itu disiasat kes provokasi terhadap anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di SJR pada 1 Jun lepas.

Katanya, wanita itu ditahan di sebuah kondominium di Jalan Lintas Kepayan dan direman selama dua hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

“Laporan itu dibuat selepas video yang direkod oleh orang awam tular di laman sosial mengatakan bahawa anggota polis membuat provokasi terhadap individu yang bernama ‘Wawa’.

“Hasil siasatan awal, insiden ini berpunca daripada provokasi beliau terhadap anggota yang bertugas kerana mengenakan saman akibat cukai jalan dan insurans kenderaan miliknya yang tamat tempoh sejak Januari lepas,” katanya.

Baca artikel berkaitan: Seronok ‘jolok’ bola snuker, 10 kena kompaun RM23,500

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu hari ini.

Mohd Zaidi berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana menakutkan secara jenayah dan siasatan kini hampir selesai.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram