HARI ini, 21 Jun merupakan hari yang sepatutnya warga United Kingdom (UK) meraikan kembalinya kehidupan normal lama apabila semua sekatan akibat COVID-19 ditarik balik.

Ini seperti diumumkan Perdana Menteri, Boris Johnson yang membentangkan ‘map out of lockdown’ atau pelan keluar dari sekatan penuh di Parlimen negara itu pada 21 Februari lalu.

Pelan itu mempunyai fasa demi fasa, merangkumi kelonggaran aktiviti untuk pelbagai sektor dari perniagaan, pekerjaaan, pendidikan, sosial, sukan dan sebagainya.

Baca artikel berkaitan: Sifar kes kematian, vaksinasi walk in di stadium, perkembangan di UK jadi perhatian

Tangguh empat minggu lagi sebelum semua sekatatan ditarik balik.

Ketika itu, Parlimen UK bersidang secara hibrid dengan Johnson mengambil pelbagai soalan secara penuh tertib dari Ahli Parlimen bagi memberi penjelasan pelan keluar dari sekatan penuh.

Namun, tarikh 21 Jun untuk kebebasan penuh telah ditunda kepada 19 Julai susulan peningkatan kes baharu di negara itu.

Antara yang pening, UEFA kerana badan induk bola sepak Eropah itu sudah ‘susun’ aksi final Euro 2020 di Wembley.

Malah sudah ada ura-ura untuk memindahkannya ke Puskas Arena Budapest – satu-satunya venue Euro 2020 yang dibenar kapasiti penuh kerana kes sangat rendah di Hungary.

Roadmap keluar dari lockdown yang dibentangkan Boris Johnson di Parlimen 21 Februari lalu ditangguhkan susulan peningkatan kes baharu akibat penularan varian Delta.

Apa pun, semalam sahaja UK merekodkan 9,284 kes dan angka itu mempunyai kaitan langsung dengan penularan varian Delta, yang kali pertama dikesan di India April lalu.

England misalnya melaporkan 38,000 kes varian Delta dalam tempoh 28 hari lalu, begitu juga di Scotland yang melaporkan majoriti kes adalah kerana varian berkenaan.

Berbanding negara lain, kes varian Delta di UK sangat tinggi apatah lagi beberapa negara Eropah yang sama-sama terjejas teruk pada gelombang pertama dulu seperti Itali dan Jerman kini mencatatkan trend penurunan kes.

Salah satunya, jumlah penerbangan dari India dan negara Asia Selatan yang lebih tinggi direkodkan di UK April lalu.

Namun, pada masa sama UK mempunyai program pengesanan genetik yang lebih ke hadapan berbanding negara lain, maka berjaya menemukan lebih banyak kes varian.

Ada laporan pakar yang berpandangan semua negara sebenarnya berdepan trend sama iaitu varian Delta yang semakin dominan dalam kes baru.

Hungary menjadi salah satu tuan rumah Euro 2020 dan ini peluang untuk menunjukkan kepada dunia bagaimana kejayaan vaksinasi negara itu membolehkan kes baharu yang sangat rendah.

Apakah kelewatan dalam memperketatkan kawalan sempadan jadi punca?

Itu tidak dapat dinafikan, tetapi pada masa sama laporan BBC semalam turut membangkitkan Autsralia juga melaporkan varian Delta di sebalik kawalan sempadannya yang ‘tiada ampun’.

Cuma, penularannya masih dalam jumlah yang kecil berbanding di UK.

Sebagai perbandingan di Malaysia, dalam tempoh 11 hingga 19 Jun, sebanyak 22 varian membimbangkan (VOC) dikesan dengan lapan adalah varian Delta.

Penularan VOC ini memang menggusarkan dan bukan sahaja penyumbang kepada kes yang tak surut tetapi kepada kes kematian dan jumlah yang perlu dirawat di hospital.

Dan pakar kesihatan serta sains UK ketika ini memantau perkembangan 25 varian COVID-19 seperti mana dilaporkan kepada Parlimen negara itu.

Ketika ini WHO ada memberi kategori VOC seperti Delta, Beta dan Alpha manakala satu lagi VOI iaitu varian yang perlu diberi perhatian.

Jika Delta ini pun sudah cukup buatkan kita ‘tersandar’, apa pula yang akan menanti jika lebih banyak VOC?

Boris Johnson yang juga bekas pesakit COVID-19 mendapatkan vaksin Astra Zeneca Mac lalu.

Kata Dr Muge Cevik, pakar penyakit berjangkit Universiti St Andrews, “kita tidak mampu hentikan sepenuhnya varian ini dari masuk”.

Apa yang terbaik bagi beliau seperti dilapor BBC adalah dengan memberi vaksin kepada seramai mungkin penduduk bukan sahaja di UK bahkan seluruh dunia.

Bila bercakap soal vaksin, manfaatnya cukup banyak. UK sendiri walau melaporkan hampir 10,000 kes baharu tetapi jumlah kematian yang direkodkan hanya 9 semalam, atau 14 kelmarin.

Di UK, 60 peratus populasi dewasa sudah lengkap dua dos vaksin. Jumlah itu bersamaan 31.34 juta orang. Banyak bukan.

Vaksinasi di UK kini mencecah 80 peratus populasi dewasa untuk sekurang-sekurangnya penerima suntikan pertama,

Namun demikian, program vaksinasi terus diperhebatkan supaya seramai mungkin divaksin. Antaranya di London, lima stadium bola sepak terkenal bertukar menjadi klinik vaksin hujung minggu lalu.

Stamford Bridge (Chelsea), White Hart Lane (Spurs) Stadium Olimpik London (West Ham) antaranya dipenuhi golongan muda untuk mendapatkan vaksin kali pertama semalam.

Sebelum ini dibuat di Stadium Twickenham di pinggir London melibatkan program vaksinasi secara walk in.

Stadium bola sepak utama di London digunakan hujung minggu lalu untuk program vaksinasi negara itu dengan menyasarkan golongan muda.

Begitulah pentingnya vaksin. Di Malaysia juga sedang rancak berlangsung di kota mahu pun desa.

Kata YB Khairy Jamaluddin, tempahan vaksin merangkumi 120 peratus populasi dewasa.

Fasa ketiga untuk golongan bawah 60 tahun di Lembah Klang pun sudah bermula hari ini.

Yang mana belum warga emas tetapi dapat awal lagi, mungkin ada sebab tertentu.

Insya-Allah, giliran semua akan tiba seperti peringatan persiapan sebelum ke PPV – merujuk khidmat pesanan ringkas (SMS) oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang diterima hari-hari.

Bila tiba giliran. Jangan tak datang ya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram