PEMBERIAN vaksin negara yang sedang rancak berjalan terus meningkat dari hari ke hari.

Semalam, sebanyak 235,623 dos vaksin COVID-19 telah diberikan – tertinggi sejak Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dimulakan pada 24 Februari lalu.

Perkembangan memberangsangkan yang dicatatkan semalam itu melibatkan pemberian berjumlah 181,840 bagi suntikan pertama dan baki 53,783 untuk dos kedua vaksin.

Rekod tertinggi sebelum ini dicapai Jumaat lalu iaitu sebanyak 221,706 dos.

Pembukaan lebih banyak pusat pemberian vaksin (PPV) termasuk PPV mega Stadium Nasional Bukit Jalil sejak semalam boleh membantu meningkatkan lagi kadar vaksinasi negara.

Secara keseluruhan, sebanyak 6.051 juta dos telah pun diberikan setakat pukul 11.59 malam tadi.

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba, ia melibatkan 4.384 juta atau 13.4 peratus daripada populasi bagi dos pertama.

Baca artikel berkaitan: 5.8 juta dos vaksin telah disuntik kepada rakyat di Malaysia

Kata beliau, 1.667 juta lagi atau 5.1 peratus populasi seluruh negara telah pun melengkapkan suntikan dua dos vaksin COVID-19.

Bagi pemberian dua dos vaksin, beliau berkata, Selangor masih mencatatkan pemberian tertinggi iaitu melibatkan seramai 216,386 individu atau 3.3 peratus daripada populasi negeri itu.

Beliau berkata, ia diikuti Sarawak yang merekodkan 188,289 individu (6.7 peratus populasi); Johor 176,080(4.7 peratus populasi); Perak 154,422 (6.2 peratus populasi) dan Kuala Lumpur 145,906 (8.2 peratus populasi).

Katanya, Sabah menjadi penerima keenam tertinggi yang telah sempurna dua dos vaksin iaitu sebanyak 134,157 seterusnya Kedah (114,515); Pahang (101,283); dan Pulau Pinang (88,728).

“Di Kelantan pula sebanyak 89,046 dos kedua pemberian vaksin telah diagihkan diikuti 74,142 di Negeri Sembilan; 73,170 di Terengganu dan 46,837 di Melaka.

“Sebanyak 29,496 dos kedua vaksin telah diberi di Perlis dan masing-masing sebanyak 20,861 dan 13,439 di Putrajaya serta Labuan,” katanya menerusi infografik yang dimuat naik ke akaun Twitter miliknya hari ini.

Mengulas lanjut, Dr. Adham berkata, Kuala Lumpur menjadi negeri penerima dos pertama vaksin COVID-19 tertinggi iaitu seramai 757,438 individu atau 42.7 peratus daripada populasi.

Katanya, ia sekali gus menjadikan Kuala Lumpur sebagai penerima tertinggi keseluruhan setakat ini iaitu sebanyak 903,344 bagi dos pertama dan kedua.

Beliau memaklumkan ia diikuti seramai 669,149 di Selangor; 667,460 di Sarawak; 385,317 di Johor dan 284,572 di Perak bagi dos pertama vaksin telah diberi.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram