jiran balasan di akhirat

Seorang lelaki bertanya kepada Nabi s.a.w. dengan katanya, “Wahai Rasulullah! Tunjukkanlah kepadaku suatu pekerjaan di mana jika aku lakukannya, aku akan dapat masuk syurga.”

Rasulullah s.a.w. menjawab,

Jadilah kamu orang yang baik.” Lelaki itu bertanya lagi, “Bagaimana aku tahu yang aku sudah berbuat baik?”

Jawab Rasulullah,

“Tanyakanlah hal itu kepada jiranmu, maka jika mereka katakan engkau orang yang baik, maka engkau adalah baik dan jika mereka mengatakan engkau orang yang jahat, maka engkau adalah jahat.” – HR Baihaqi

Hadis di atas memperlihatkan betapa pentingnya hubungan sesama jiran. Kehidupan berjiran adalah satu tuntutan dalam Islam. Malah Imam Ghazali ketika ditanya bagaimana seseorang boleh mengetahui keaiban dan kelemahan diri, ini jawapannya.

Tanyalah kepada musuh mahu pun teman rapatnya.”

Oleh itu, semuanya bergantung kepada diri sendiri dalam membentuk persepsi jiran-jiran sama ada mereka berfungsi sebagai musuh ataupun rakan baik. Memang benar, keperibadian diri boleh dinilai berdasarkan pendapat jiran-jiran sekeliling.

Kebanyakan aktiviti harian diketahui jiran dan setiap tindak-tanduk akan dilihat oleh mereka. Mereka adalah individu yang paling rapat, dekat dan akrab kerana selama 24 jam kita berada berhampiran mereka.

Jika diri kita sentiasa dihiasi dengan perbuatan dan sikap yang baik, ataupun dikenali sebagai seorang yang dipenuhi dengan sifat-sifat negatif, maka itulah yang akan diingati dan dituturkan oleh jiran sehinggalah kita meninggal dunia.

Sebagaimana pepatah Melayu ada mengatakan “Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama”.

Rasulullah s.a.w bersabda,

Seorang mukmin adalah cermin bagi saudaranya. Jika dia melihat sesuatu aib pada dirinya, maka dia memperbaiki dirinya.” – HR Bukhari

Pandangan dan pendapat seorang jiran terhadap kita akan memberi kesan kepada balasan yang akan kita terima di akhirat kelak. Oleh itu, tunaikanlah hak-hak jiran dan amalkan adab-adab berjiran seperti yang diperintahkan oleh Allah dan Rasul-Nya.

Hidupkan sunnah berjiran

Imam al-Ghazali menggariskan 30 adab berjiran di dalam kitabnya Ihya’ Ulumuddin seperti memberi salam, menziarahi ketika sakit, mengucapkan tahniah ketika gembira, menjaga rahsia dan banyak lagi.

Kita juga boleh bertanyakan pendapat dan mendapatkan khidmat nasihat daripada jiran yang baik dalam usaha memperbaiki diri dan meningkatkan lagi ketaqwaan terhadap Allah.

kenali siapa jiran kita

Hari ini, kesan daripada tuntutan mengejar taraf sosioekonomi, kemewahan, urbanisasi dan sebagainya menyebabkan kesibukan yang melampau, secara beransur-ansur telah melunturkan semangat dan ikatan kejiranan.

Sebagai umat Islam yang bersatu, kita perlu menghidupkan kembali sunnah Nabi mengenai adab berjiran yang semakin lama semakin luput daripada ingatan umat Islam kini.

Sesungguhnya untuk membina dan mengekalkan hubungan yang baik dengan jiran tetangga itu tidaklah terlalu sukar, yang penting kita hendaklah bersifat sabar, pemaaf dan mengamalkan budi pekerti yang mulia.

Jika semua ini diamalkan dalam kehidupan berjiran, Insya-Allah, kita akan dapat mengecapi nikmat kehidupan yang aman tenteram, bahagia dan sentiasa diberkati Allah di dunia dan akhirat. Wallahu a’lam

_________________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram