serian

PENINGKATAN jumlah jangkitan baharu COVID-19 di dua lokaliti dalam daerah Kunak, Sabah telah membuatkannya dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Pada masa sama, PKPD di sebuah perkampungan dalam Kota Belud pula yang sepatutnya tamat esok akan dilanjutkan disebabkan masih berlaku penularan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dua lokaliti itu melibatkan Kampung Pangi Hujung dan Kampung JKR Lama yang akan dilaksanakan PKPD selama dua minggu.

Kata beliau, PKPD di kedua-dua kawasan itu akan dikuatkuasakan bermula Khamis ini sehingga 7 Julai 2021.

“Sehingga kini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melakukan 16 ujian saringan di Kampung Pangi Hujung dengan 11 kes telah direkodkan.

“Di Kampung JKR Lama pula, sebanyak 15 kes telah dikesan hasil daripada 42 saringan di lokaliti tersebut.

Baca artikel berkaitan: Tiga lokaliti di Perak, Pahang tamat PKPD ikut jadual

Penjara Sungai Udang, satu lokaliti lagi di Perak kena PKPD

“Pelaksanaan PKPD ini untuk menyekat pergerakan dan penularan jangkitan daripada kawasan berisiko ke luar lokaliti tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri turut mengumumkan PKPD dilaksanakan di Kampung Kebayau, Kota Belud yang sepatutnya tamat esok akan dilanjutkan lagi selama dua minggu.

Ismail Sabri berkata, ia selepas KKM mendapati penularan masih berlaku dalam komuniti di lokaliti berkenaan.

Beliau memberitahu, KKM turut mengesan kes baharu jangkitan COVID-19 dalam lokaliti tersebut.

“Sehingga kini, KKM telah melakukan 200 ujian saringan dengan 22 daripadanya disahkan positif COVID-19.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melanjutkan PKPD di Kampung Kebayau, Kota Belud bermula 24 Jun sehingga 7 Julai 2021,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram