BOSAN duduk di rumah akibat terlalu lama ‘berkurung’ sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ia sedikit sebanyak telah mendorong pelakon Hafreez Adam untuk mengasah kembali bakat melukis yang sudah lama terpendam.

Menurut Hafreez atau Hafreez Adam Aizat Zahalan,31, dia bersyukur kerana diberikan kemahiran melukis sekaligus kini menjadi pendapatan sampingan dikala kerja-kerja penggambaran terpaksa ditangguhkan.

“Masa PKP pertama tahun lalu, saya masih meneruskan perniagaan Char Kuey Teow yang diusahakan bersama keluarga. Syukur alhamdulillah sambutan sangat baik.

“Bila masuk fasa PKP kedua, saya mula menggunakan kembali bakat melukis sebagai satu cara untuk jana pendapatan.

“Saya memang tak sangka ramai yang berminat membuat tempahan dan saya rasa ia salah satu hikmah buat saya belajar menggunakan sebaik mungkin kemahiran yang ada.

“Saya tak boleh hanya bergantung pada satu bakat lakonan saja untuk cari duit sedangkan sebenarnya saya ada kemahiran lain bagi mencari jalan menambah wang saku,” katanya kepada URTV.

Antara lukisan yang mendapat tempahan pelanggan